Memaparkan catatan dengan label motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label motivasi. Papar semua catatan

Selasa, November 18, 2014

Malam tadi punya hal


Kalau anda pernah baca blog ni sebelum ni pastinya anda tahu yang saya ni ada penyakit asma. So malam tadi balik kerja shift 12 jam badan agak penat. So berehat je lepas makan dan main game FIFA 14 kejap. Batuk dah reda sikit tapi tekak ada lagi gatal dan lendir dalam tekak pun ada sikit.

Sebelum tidur saya ambil 4 biji pil minyak kelapa dara. Nak ambil pil kordisep tak jumpa pulak. So abaikan je.

Alhamdulillah tidurnya lena. Tak ada serangan asma.

Esoknya dalam waktu subuh, saya tersedar. Agak terkejut. Rasa agak sakit di bahagian alat sulit. Rupanya ia tegak semacam. Agak luarbiasa. Power gak rupanya minyak kelapa dara ni. Nasihat saya pada lelaki yang ada masalah batin, tak payah la cari kopi tongkat atau pil apa bagai, cuba je cari yang tradisional seperti minyak kelapa dara ni. Tak ada dadah dan semulajadi sumber dia.

Umur saya 36, anak  ada 2 orang. Dulu masa bujang tak ada penyakit lelah ni (asma). Agaknya masa muda saya tak jaga makan. Dah tua-tua ni kena la beringat. Jangan makan chewing gum sebab dia ada aspartam. Aspartam nama untuk gula tiruan. Ia dibuat dari methanol. Nama kampung dia cuka kayu. Kalau makan benda ni memang la kena penyakit. Nasihat la kat anak buah anda dan sebarkan maklumat ni.

So hari ni cuti tapi sepatutunya kena pergi Amkor ada training dari Training department, pun abaikan jugak.

Ingat nak berehat jer, malam ni kena datang awal sikit kelab ping-pong sebab nak tolong Mr presiden angkat meja dari pentas. Hari tu simpan sebab ada kejohanan teakwondo.

Untuk hari ni saya nak kongsi 5 perkara yang dilaporkan oleh pekerja hospice (orang yang jaga kes2 nazak) tentang 5 kekesalan semasa hampir mati, kalaulah masa boleh diputar semula saya akan............

1. Saya AKAN penuhi impian (mimpi ) saya bukannya impian orang sekeliling saya.....

2. Saya TIDAK akan bekerja terlalu kuat sehingga tak sempat tengok anak membesar....

3. Saya akan punya KEBERANIAN untuk meluahkan perasaan sebenar saya.....

4. Saya TIDAK akan abaikan kawan-kawan lama saya ........

5. Saya akan MEMILIH untuk bahagia dan gembira daripada hidup selesa dalam dunia saya yang         (kononnya) selamat dan terjamin.

Khamis, November 06, 2014

Mencari bahagia


Petua mencari bahagia.

Semua orang ingin hidup bahagia. Semua orang mencari kebahagiaan. Lihatlah betapa ramainya orang keluar rumah setiap hari. Apa yang mereka cari? Meredah traffic jam, mengadap boss, kena marah, berusaha keras mencari duit kerana mencari apa?

Manusia secara fitrahnya mahu hidup bahagia dan kerana itu manusia berusaha mencari kebahagiaan.

Jadi di mana letaknya bahagia? Adakah terletak pada wang ringgit? Adakah dengan pangkat dan kuasa? Atau dengan isteri cantik boleh bahagia? Kalau anda pilih yang paling akhir (isteri cantik) itulah paling bahaya. Kenapa?

Cantik punca bahagia?
Cantik bukan punca bahagia kerana cantik tidak kekal. Semua orang akan tua. Kalau macam tu datuk dan nenek kita tak bahagialah? Hilang cantik hilanglah bahagia kalau kecantikan itu sandaran bahagia anda. Bahkan jika isteri anda cantik maknanya umur anda pendek. Lagi cantik isteri anda lagi pendek umur anda, sebab? Sebab ramai orang berdoa bila la dia ni nak mati, boleh aku kahwin dengan janda dia. Kalau ramai sangat berdoa macam tu, macam mana? Ya makbul kan?

Wang ringgit punca bahagia?
Adakah bahagia ada pada wang ringgit yang bertimbun-timbun? Pun bukan terjamin bahagia juga. Buktinya adalah artis yang mewah dengan duit berjuta-juta kenapa mereka tak bahagia, ada yang bercerai-berai, ada yang stress, bahkan ada yang bunuh diri (macam Kurt Cobain)? Ada yang ambil dadah. Bahagiakah begitu?

Pangkat dan kuasa punca bahagia?
Adakah bahagia ada pada kuasa dan pangkat besar? Manager yang duduk dalam bilik air cond itu bahagiakah mereka? Betapa ramainya anak buah mereka yang dengki pada mereka, membuat bermacam rancangan jahat untuk menjatuhkan mereka. Ada yang guna sihir dan ada yang guna fitnah. Bahagiakah bila ramainya orang yang ingin tengok kita jatuh?

Adakah duduk dalam istana mewah itu bahagia? Semua protokol kena jaga. Susahnya mahu berjalan seorang diri tanpa gangguan kerana terlalu masyhur, sehingga apa yang dibuat semua orang perhatikan. Nak minum teh di kedai kopi pun susah, maklumlah dah jadi wakil rakyat yang satu Malaya kenal kita. Rumah kena ada pengawal 24 jam maklumlah kereta mewah dan harta perlu diawasi selalu. Bahagiakah begitu berbanding orang di rumah setinggan yang tak pernah kunci pun rumah dia malah kunci pun letak dalam kotak pos saja bila keluar.

Di mana terletak hakikat bahagia yang sebenarnya?

Sebenarnya ada satu perkataan yang memberikan kesimpulan untuk bahagia. Tak kiralah miskin atau kaya, cantik atau tidak, muda atau tua, manager, tukang kebun, atau apapun keadaan anda, anda boleh kecapi bahagia kiranya anda memiliki satu benda ini yang memberikan kesimpulan untuk bahagia.

Ya bahagia boleh disimpulkan dalam satu perkataan. Apakah satu perkataan yang menyimpulkan bahagia itu.

Perkataan itu adalah....


tenang. Tenang itulah bahagia...

Bak kata Ustaz Pahrol Juoi, bahagia itu datang dari dalam hati dan terpancar ke persekitaran luar, bukan dengan segala macam material dari luar boleh masuk je ke dalam membahagiakan hati.

Jadi jagalah hati kerana ia lantera hidup ini. Baik hati baiklah seluruhnya.

Semoga bahagia. Amin.



gambar hiasan.

Sumber rujukan: Segmen motivasi pagi, radio Institut Kefahaman Islam Malaysia IKIM FM.

Sabtu, Februari 16, 2013

Ubah sikap: Dulu malas kini pun malas-Insaflah Sadli



Salah satu faktor penghalang dalam usaha mengejar kejayaan ialah sifat "mim" yang menjadi kepala ejaan Melayu, iaitu malas yang ada dalam diri. Ramai dari kalangan orang Melayu kita yang malas, termasuklah saya. Buktinya? Ramai orang melayu lebih suka makan gaji saja. Malas nak jadi usahawan. Takut jadi kaya sangat kononnya.

Tengoklah saja saya ni sebagai contoh. Nak menaip posting ni 400 perkataan pun susah sangat. Nak menulis secara konsisten setiap hari pun susah. Kalau saya rajin pasti blog ni dah naik ranking. Pasti ramai yang nak share apa yang saya tulis.

Saya ni tuan-tuan mempunyai kelemahan diri yang sangat ketara. Apakah kelemahan itu? Kelemahan diri saya ialah malas dan susah bangun pagi. Kalau dah bangun suka tidur balik. Itulah kelemahan saya. Kalau tidur selepas Subuh macam mana nak sembahyang sunat Dhuha. Sedangkan sembahyang Dhuha kan doa minta murah rezeki. Kalau tidur lepas subuh alamatnya rezeki kita akan jadi mahal.   

Kalau hari minggu minta ampun lah. Selepas siap je solat subuh (itu pun dekat 7 dah) saya akan duduk di kerusi dalam keadaan malas dan kemudian akan tertidur sendiri secara automatik. Habis semua kerja tak jadi. 

Pernah satu Ahad tu saya tidur lepas Subuh sampai sekitar pukul 10. Tuan-tuan tahu apa jadi? Saya pergi kenduri berkhatan dalam pukul 11. Hand Set HTC saya tinggal dalam kereta kena kebas. Itulah bukti tuhan nak tunjuk. Tidur lepas subuh maknanya rezeki jadi mahal.  

Kenapalah saya macam tu? Suka tidur lepas subuh. Malas berusaha. Asyik fikir nak hidup senang tapi malas nak berusaha. Impian tinggi tapi usaha tak seberapa. Bila tengok orang pakai kereta cantik mula la berangan nak pakai juga. Tapi entah bila baru dapat. Tinggal berangan jelah. Jiwa pun tak kental. Itulah saya.   

Saya kesal dengan sikap itu. Saya kesal kerana saya malas berusaha. Tapi saya kini cuba berubah. Saya akan mula menulis di sini setiap hari. Setiap hari saya akan tulis dan kupas isu semasa. Itu janji saya. Saya janji pada diri sendiri. Saya mempunyai cita-cita tinggi tuan-tuan. Apa cita-cita saya? 

Saya nak beli rumah dengan duit cash. Tinggi kan cita-cita saya? 
Cita-cita yang tinggi dan gila mungkin. Tapi kata Albert Einstein jika cita-cita kamu tak gila maka ia tak akan berjaya. Saya rasa cita-cita saya cukup gila. Kawan-kawan kat tempat kerja saya tak pernah ada cita-cita gila macam saya.  

Walaupun saya suka kumpul duit tapi saya sedar duit takkan ke mana. Kita sebagai orang Islam perlu sedar hakikat ini. Rezeki kita yang halal pun akan di hisab dengan seadil-adil hisab. Tak ada satu yang akan terabai. Itu yang halal. Kalau yang haram? Yang haram akan di azab. 

Ketat kan aturan Islam? Begitulah hakikat jalan hidup Islam. Itu belum masuk bab riba lagi. Ramai orang Islam ambil riba. Tapi selamba je tak ada rasa bersalah. Kenapa? Sedangkan dosa riba itu sampai tahap Allah dan Rasul mengisytiharkan perang.  

Jadi saya pelik kalau orang Islam hidup dengan gaya bermewah-mewah yang melampaui batas. Sebab tulah ustaz yang tawaduk biasanya hidup mereka sederhana sahaja. Mereka akan pakai kereta yang mampu beli cash. 

Ya tuan-tuan, kalau kita pinjam duit dari Bank Islam untuk beli kereta maknanya kita ambil riba lah tu. Walaupun namanya Bank Islam tapi itu nama sahaja, nak bagi sedap bunyi. Sebutan pun ala-ala Arab gitu dia punya skim pinjaman.  

Tengoklah apa tafsiran riba. Dari segi bahasa riba maknanya Tambahan. Dari segi syarak pula tuan-tuan rujuk la dari kitab. Bukan ke kita kena bayar tambahan bila ambil pinjaman Bank Islam. Jadi itu pun riba kan? Riba ni senang sangat kita terjebak. Itupun ramai yang beri alasan darurat. Boleh terima ke alasan darurat? Jawab la macam tu depan tuhan nanti.

Nabi S.A.W. pernah tegur Bilal hanya kerana Bilal tukar buah kurma yang ada 2 bakul menjadi 1 bakul dengan kurma yang berlainan kualiti sahaja, iaitu 2 bakul kurma kualiti rendah menjadi 1 bakul kurma kualiti tinggi. Nabi S.A.W. kata itu riba! 

Itu baru kurma tuan2. (Kurma adalah matawang zaman itu). Kita hari ni apa yang kita tak buat? Semua kita bedal. Jadi cubalah berhenti sebelum kita mengadap tuhan.     

Fikirkan. Saya sedia untuk anda tidak setuju dengan saya. Saya bukan pandai dan tak layak pun jadi ustaz. Tapi tak salah saya nak sampaikan apa yang saya tahu kan? Kalau nak tunggu pandai sampai bila kita nak sampaikan? Bukankah nabi S.A.W. menyuruh kita sampaikan walaupun satu ayat?  

Jumaat, Februari 15, 2013

Naik turun dunia perniagaan



Berniaga ni tak mudah. Sebab tu ramai orang tak mahu berniaga. Ada masa naik ada masa turun. Masa naik kita akan gembira. Tapi masa turun macam mana? 

Dulu pun aku pernah kena kutuk, sampai ada yang kata aku ni masuk neraka sebab aku jual produk seks katanya. Itu dulu. Sekarang aku cuma nyanyi " terima kasih atas penghinaan yang kau berikan..." 

Bulan lepas jualan perniagaan online aku Ok, jualan mencecah RM 700 lebih tapi bulan ni slow la pulak. Terlalu slow sangat, sampai aku rasa macam nak menangis saja kat masjid tadi. 

Aku pergi masjid awal hari ni. Tak makan tengah hari. Dengar kuliah agama. Cerita tentang keagungan ciptaan tuhan. Cerita pasal roh, pasal buah dan pasal unta dan lembu.  

Tadi baru ada satu customer beli 2 barang untung la RM40. Tengah bulan macam ni duit gaji aku memang dah kering gila. Cukup-cukup je buat bayar tol dengan minyak. Duit makan? Tawakkal je lah. Nasib baik bini aku kerja. Boleh la aku tumpang waktu sesak macam ni.

Balik rumah pukul 5 sampai. Nak beli goreng pisang tak jadi. Gigi pun dah berlubang banyak. Bila nak tampal? Tunggu gaji. 

Aku berniaga online sambil makan gaji. Insya Allah satu hari nanti aku akan jadi kaya. Aku mahu jadi kaya supaya dapat tolong orang susah. Aku mahu berbakti. 

Malam aku keluar ke Jalan Reko. Mahalnya harga makanan dekat Uptown Bangi ni. 

Char Kueh Tiow      1= RM4. 
Nasi Ayam+limpa    1=RM6.50 (pinggan plastik je) 
Fresh Orange           1=RM  3 (kongsi ngan anak)
Crepe Durian           6 biji=RM10
Itu baru aku bawa anak sorang. Kalau anak 4 camne?
Huh Gila!!

Update rangking blog ini: 
No 8 Google untuk kata kunci "peluang berniaga online"
Alhamdulillah. Aku akan terus menulis dengan tabah.

Rabu, Jun 10, 2009

Bagaimana cara untuk Bangun Awal Pagi


Bangun awal pagi setiap hari adalah cerminan orang yang bermotivasi dan berjaya. Orang yang punya matlamat biasanya akan bersemangat untuk bangun seawal pagi bersedia menghadapi cabaran. Bukan senang untuk menjadi orang yang bermotivasi, positif dan berjaya.

Kelebihan bangun waktu awal pagi, terutamanya waktu dinihari adalah begitu luarbiasa sehingga Lukman al-hakim pernah berkata "janganlah kamu biar ayam jantan itu menjadi lebih cerdik dari kamu", maka kenalah bangun SEBELUM ayam jantan berkokok...boleh?

Kebanyakan orang sering tunduk pada nafsu untuk tidur hingga selewat mungkin barulah bangun. Ini bukan satu tabiat yang baik kerana akan banyak hal menjadi tergendala dan pagi anda pula sentiasa kelam-kabut dan terkejar-kejar.

Kalaupun kunci jam pukul 6, apa ramai orang akan buat bila berbunyi jam 6? 
Jawapan: Matikan alarm, sambung semula tidur "sikit" jer lagi. Akibatnya 30 minit sehari "buang" dengan tidur. Kalau 365 hari? Kalau setahun? 

Bagaimanakah cara untuk bangun awal pagi setiap hari? 

Adakah orang yang bangun awal memang dilahirkan begitu (sejak azali?) atau mereka mengamalkan suatu strategi, kaedah atau teknik tertentu? Pada hemat saya, bangun awal pagi ni kalau bercakap memang senang, tapi kalau nak buat belum tentu.

Semasa saya berusia awal 20-an, saya biasanya hanya akan masuk ke bilik tidur selepas jam 12 malam, jarang sekali saya tidur sebelum tengah malam. Akibatnya saya selalunya akan terjaga dan "hidup" hanya bila hari sudah hampir tengah hari.

Selepas beberapa tahun saya mula sedar betapa tingginya kaitan antara KEJAYAAN dan BANGUN AWAL PAGI, termasuklah dalam kehidupan peribadi saya. Dalam beberapa kes yang jarang bila saya bangun awal pagi, saya dapat rasakan yang produktiviti diri selalunya akan lebih tinggi, bukan hanya pada waktu pagi, tapi untuk keseluruhan hari itu. Saya juga dapat merasakan keseluruhan keadaan diri yang lebih cergas, aktif dan bertenaga. 


Maka oleh kerana saya memang ingin menjadi orang yang hebat, saya bertekad untuk bangun awal setiap hari secara konsisten. Tanpa membuang masa lagi, saya kunci jam loceng pada pukul 6 pagi.....dan keesokan harinya .....jam berbunyi, tapi tunggu kejap, masa ada lagi, sedap pula tidur la sikit je.. 
akhirnya...
saya tetap bangun lewat.

Hmm..


Saya cuba lagi beberapa kali selepas itu, setiap kali juga keputusannya tidak lari jauh. Adakah saya memang dilahirkan dengan genetik bangun lewat? Setiap kali jam loceng berbunyi, perkara pertama yang terlintas dalam benak pemikiran saya ialah bagaimana mahu mematikan bunyi yang amat mengganggu itu dan menikmati semula tidur yang nikmat tadi. 

Begitulah tabiat saya selama beberapa tahun. Namun saya mula sedar dari bacaan dan kajian pakar bahawasanya teknik saya itu sebenarnya SALAH. Hanya selepas saya mengaplikasikan teknik baru ini barulah saya berjaya untuk bangun awal.

Sebenarnya memang teramat sukar untuk bangun awal jika strategi yang kita gunakan salah. Tapi dengan adanya strategi yang betul, bangun awal pagi sebenarnya adalah mudah dan semulajadi.

Antara cara salah yang agak biasa ialah; kamu anggap jika esok kamu mahu bangun awal, maka strategi paling baik ialah tidur awal pada malam itu. Maka kamu mula mengkaji masa tidur kamu yang biasa dan mencongak masa tidur yang terbaik untuk bangun pada pukul 5 pagi. Contohnya jika kamu selalu tidur pada pukul 12 tengah malam dan bangun pada pukul 7 pagi, maka cara untuk bangun pada pukul 5 pagi ialah dengan menganjakkan waktu tidur lebih awal dua jam iaitu dengan tidur pada pukul 10 malam. Kaedah yang nampak logik. Tapi sebenarnya tetap akan menemui kegagalan.

Boleh dikatakan ada dua pendapat utama tentang corak tidur. Satu ialah yang mengatakan anda sepatutnya perlu tidur dan bangun pada waktu yang tetap setiap hari. Dengan kaedah ini seolah olah anda mempunyai dua jam loceng pada dua ketetapan - anda cuba tidur pada waktu yang tetap pada setiap malam. Kaedah ini nampak praktikal walaupun dalam suasana kehidupan moden hari ini. Kita perlukan ketetapan dan badan perlukan rehat yang cukup.

Pendapat yang ke dua pula mengatakan bahawa anda perlu mendengar isyarat atau signal dari tubuh anda. Tidur hanya bila anda rasa penat dan bangun hanya bila anda terjaga secara semulajadi. Pendapat ini didasarkan pada pemahaman konsep biologi manusia itu sendiri. Badan kita akan bereaksi memberi isyarat bila kita mengantuk, jadi kita perlu akur pada kehendak biologi tubuh badan secara semulajadi.

Melalui kaedah cuba-cuba dan pengamatan sendiri, saya mendapati kedua-dua kaedah ini tidak akan memberi corak tidur yang optimum. Kedua-duanya adalah salah jika anda benar-benar mengambil berat tentang produktiviti diri anda. Kenapa?

Sekiranya anda tidur pada waktu yang tetap, anda kadang-kadang akan masuk ke bilik tidur bila anda belum mengantuk. Sekiranya anda berada di atas katil selama lebih dari 5 minit tanpa tidur, maka anda sebenarnya belum mengantuk! Bayangkan, setiap malam anda membuang masa lebih dari 5 minit masa anda tanpa ada apa-apa perkara yang produktif melainkan hanya termenung. Ingat; masa itu emas. Masalah lain ialah anda menganggap anda perlu jumlah waktu yang tidur yang tetap setiap hari, ia sebenarnya anggapan salah. Keperluan tidur anda pada hakikatnya berbeza setiap hari.

Sekiranya anda mengikut pendapat ke dua pula iaitu mendengar kehendak biologi tubuh, anda mungkin akan tidur lebih dari yang perlu dalam kebanyakan kes, terlalu lebih biasanya 10 hingga 15 jam terkumpul lebih banyak dalam tempoh seminggu (anda akan rugi 1 hari waktu untuk bekerja). Ramai orang yang tidur dengan cara ini bisanya akan tidur lebih dari 8 jam setiap hari, yang bermakna mereka terlalu banyak tidur. Selain itu, waktu pagi anda akan sukar untuk di jangka kerana mereka akan bangun pada waktu yang berbeza setiap hari (mengikut kata tubuh). Oleh kerana corak peredaran tubuh kita yang tidak semestinya selari dengan sistem jam, maka waktu tidur anda akan lari (hanyut) secara rawak.

Cara terbaik bagi saya ialah dengan menggabungkan kedua-dua kaedah di atas. Sebenarnya ia sangat senang dan ramai orang yang biasa bangun pagi melakukannya secara semulajadi, tapi ianya merupakan suatu pencapaian hebat bagi diri saya yang teramat sukar bangun  awal pagi. 


Penyelesaiannya ialah dengan masuk ke bilik tidur hanya bila sudah mengantuk dan bangun pada waktu yang tetap dengan jam loceng pada setiap pagi setiap hari (7 hari seminggu). Jadi saya akan bangun pada waktu yang sama pada setiap pagi (dalam kes saya, 6 pagi), tapi saya masuk tidur pada waktu yang berbeza-beza setiap malam. Tanamkan niat positif untuk menjadi manusia yang positif dengan bangun awal pagi.

Saya akan masuk ke bilik tidur hanya bila saya rasa mengantuk dan tidak mampu lagi untuk berjaga. Ujian mengantuk untuk diri saya ialah bila saya tidak lagi mampu untuk membaca satu atau dua muka surat sebuah buka tanpa hanyut, maka saya memang benar-benar mengantuk dan perlu tidur. Kebanyakan dari pengalaman saya, saya akan tidur dalam sekitar hanya 3 minit selepas berada di atas katil. Saya baringkan tubuh, selesakan badan, tanpa masalah saya akan terus lelap. Ada masa saya tidur awal jam 9 setengah. Ada masa saya berjaga sampai 12 tengah malam. Kebanyakannya saya akan tidur sekitar jam 10 hingga 11 malam. Sekiranya saya tidak mengantuk, saya akan berjaga sehingga mata saya benar-benar mengantuk. Membaca adalah aktiviti terbaik untuk waktu sebegini. Sehinggalah benar-benar mengantuk barulah saya akan masuk untuk tidur di bilik.

Bila jam loceng hand set berbunyi setiap pagi, saya akan menutupnya (bukan tekan butang "snooze"), regangkan badan beberapa saat dan kemudian terus bangun. Saya tidak akan berfikir lagi mengenai tidur. Dari pengalaman saya, semakin lama saya mengambil masa, maka semakin tinggi kebarangkalian saya akan sambung tidur. Saya tidak akan membenarkan diri saya berbual tentang faedah-faedah tidur bila jam sudah berbunyi. Walaupun perasaan saya masih lagi mahu tidur, saya TERUS bangun.

Selepas beberapa hari kekal dengan tabiat ini, saya dapati corak tidur saya menjadi sesuatu yang semula jadi. Jika pada suatu malam saya kurang tidur, malam berikutnya saya akan mudah mengantuk dan tidur awal secara semulajadi. Sekiranya badan saya bertenaga dan tidak letih, saya akan tidur kurang sedikit. Tubuh badan saya belajar untuk memaksa saya tidur bila penat dan mengantuk kerana tubuh saya tahu yang ia akan bangun pada waktu yang sama setiap pagi dan tidak ada perundingan lagi mengenainya.

Kesan daripada kaedah ini, saya biasanya tidur kurang 90 minit secara normal setiap malam tetapi saya rasa tubuh saya benar-benar rehat dan segar. Dan saya jarang untuk tidak tidur bila sudah berada di atas katil.

Dari pembacaan saya, kebanyakan orang yang susah tidur (pengidap penyakit insomnia) ialah orang yang masuk tidur bila mereka tidak mengantuk. Jika anda tidak mengantuk dan susah untuk tidur dengan cepat, cuba bangun dan berjaga untuk seketika. Jangan tidur lagi sehingga tubuh mengeluarkan hormon memberitahu yang anda perlu tidur (anda akan rasa mengantuk).

Jika anda masuk ke bilik tidur hanya bila anda mengantuk dan bangun pada waktu yang tetap setiap hari, anda akan sembuh dari penyakit sukar tidur (insomnia). Malam pertama anda berjaga memang anda akan tidur lewat, tapi anda akan terus tidur bila masuk ke bilik. 


Hari pertama memang akan sukar untuk anda kerana anda bangun awal dan hanya dapat tidur beberapa jam sahaja. Tetapi anda mestilah menghadapi hari itu dengan cekal dan anda akan merasa mengantuk awal pada malam ke dua. Selepas beberapa hari anda akan dapati corak tidur akan menjadi sekata dengan waktu tidur yang tidak jauh berbeza dan tidak ada masalah sukar untuk tidur lagi.

Jadi, jika anda mahu jadi orang yang bangun awal (atau memiliki lebih kawalan pada corak tidur dan mengatasi insomnia) maka cuba lah cara ini;

Masuk ke bilik tidur hanya bila anda benar-benar mengantuk dan bangun pada masa yang tetap setiap pagi, setiap hari, menjadi amalan rutin anda yang wajib. Jadikan bangun awal pagi sebagai tabiat anda yang semulajadi. Tabiat yang positif bila terbentuk maka  teruskan hingga anda rasa teramat rugi kalau bangun  lewat. Anda akan bangun awal secara mudah sekali dan menjadi manusia cemerlang yang produktif.


Kita sebagai orang Islam juga pastinya terbiasa bangun awal dan berpagi-pagi kerana ia akan membuka pintu rezeki. Selain itu kita ada kewajipan untuk bangun sebelum matahari terbit untuk menunaikan sembahyang Subuh. Jika kita sudah setkan minda untuk bangun subuh dan berjamaah di Masjid atau surau pastinya kita akan bangun dengan lebih mudah. 

Kelebihannya amatlah luas berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Aisyah menceritakan Nabi S.A.W. bersabda, "Dua rakaat sebelum Subuh lebih baik dari dunia dan seisinya". 

Jadikan bangun awal pagi sebagai tabiat. Bila anda kekalkan tabiat baik ini, bangun pagi setiap hari bukan lagi satu masalah. Malahan anda akan punya sikap positif dan sentiasa bangun pagi tanpa masalah.

Jumaat, Julai 18, 2008

Mengapa keseronokan itu menghancurkan.


Keseronokan adalah sesuatu yang akan menghancurkan diri sendiri. Kita tengok saja contoh keseronokan simple yang sering dikejar oleh manusia seperti menghisap rokok, clubbing, melayari bahan lucah, layan tidur awal pagi dan lain lain lagi.

Kenapa keseronokan akan menghancurkan? Jawapannya mudah saja. Keseronokan ini akan menghancurkan diri kerana keseronokan adalah sesuatu yang tidak ada kesudahan. Hendak seronok kena cari sesuatu yan lebih seronok lagi, jadi dah seronok nak lagi yang lebih seronok, lebih khayal dan lebih "kick".

Kesudahannya apa? Tak lain selain daripada kehancuran diri sendiri. Sampai tahap diri binasa baru mahu patah balik dah terlewat la.

Itu baru bagi contoh yang mudah saja, belum pun sebut perihal dadah atau ganja. Kalau dah kena benda tu, sendiri mahu ingat lah! Hidup pun tak ada makna lagi.

Kesemua benda benda di atas hanya perlu ada starting point saja, kalau dah start, maka ianya akan menular jadi wabak yang sukar untuk di sembuhkan. Jadi janganlah fikir mahu seronok saja, hidup ini lebih bermakna dengan kepayahan dan perjuangan. Kita hidup pun hanya sementara sahaja. Kalau kita bazirkannya dengan sia sia, kitalah yang rugi.

Sabtu, Jun 21, 2008

Fokus masalah @ Fokus penyelesaian


Ada satu kisah yang berlaku di sebuah firma kosmetik terkemuka Jepun yang menghadapi masalah "costumer claim" kerana satu daripada kotak sabunnya entah macam mana telah tertinggal kosong tanpa sabun dan hanya kotak kosong yang dijual untuk pasaran. Ini menyebabkan imej syarikat terjejas. 

Jadi pihak top management telah berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Macam mana mahu mempastikan atau memeriksa kotak samaada kosong atau tidak. Engineer- engineer mereka yang paling kanan dan hebat telah dipanggil untuk membuat / mencari solusi bagi mengatasi masalah ini. Maka mereka bersetuju untuk mengeluarkan sejumlah modal yang banyak untuk membina alat pengimbas (scanner) yang canggih agar tidak ada lagi kes kotak sabun yang kosong akan berulang. 

Kakitangan yang ada juga ditambah untuk menjaga mesin pengimbas itu. Selesailah masalah mereka akhirnya walaupun banyak modal dan wang habis dan mahal harganya. Yang penting masalah selesai kan?

Tiba-tiba ada seorang pekerja bawahan biasa yang memberi cadangan yang jauh lebih praktikal dan murah serta mudah. Guna kipas angin yang besar dan kuat, tiup saja mana-mana kotak, yang kosong akan terbang sahaja tanpa masuk ke dalam packing seterusnya untuk custumer! Jimat tenaga manusia dan jimat duit berbanding mesin scanner yang mahal itu!

Satu lagi kisah ialah tentang angkasawan Amerika (NASA) yang menghadapi masalah bila pen yang di bawa ke angkasa tidak dapat berfungsi kerana dakwat biasa tidak dapat mengalir seperti biasa kerana tiada tarikan graviti. Jadi mereka mengkaji dengan kos berjuta2 demi mencipta dakwat pen yang boleh mengalir di angkasa lepas dan juga pen canggih yang boleh disesuaikan dengan dakwat istimewa itu. 

Pun selesai juga masalah meraka setelah banyak duit dihabiskan dan masa untuk mengkaji teknologi itu. Pada masa yang sama, pihak Russia telah pun menggunakan kaedah mereka sendiri untuk menyelesaikan masalah yang sama. Mereka gunakan Pensil!

Jadi kita tentukanlah cara kita sendiri untuk selesaikan masalah. Gunakan cara orang-orang bijak pandai atau cara kita sendiri yang tak kurang pandainya.

Ahad, Mei 11, 2008

Kekayaan dalam hidup


Ada suatu pepatah yang menyebut, kalau hilang harta anda kehilangan sesuatu. Tapi kalau hilang kesihatan, anda hilang segala-galanya. Kesimpulannya, kesihatan itu lebih berharga dari harta. Sebab kesihatan tidak boleh ditukar ganti dengan harta. Jadi jagalah kesihatan ketika ia masih ada. Kalau dah hilang kesihatan, harta banyak pun tak memberi erti.

Tengoklah ramai orang muda hari ini, kesihatan yang ada patutnya gunalah untuk manfaat diri sendiri dan bangsa. Tapi sedihnya asyik sangat dengan nikmat dunia, melepak2 minum teh tarik dan hisap rokok. Buang harta, buang kesihatan, buang masa. Tak sadis ke?

Maaf sebab aku bukan nak berceramah, aku ni bukan orang berpangkat pun tapi sekadar ingat mengingat. Hidup ini terlalu berharga untuk dibazirkan begitu sahaja. Buatlah sesuatu yang hebat dalam sekali hayat ini. Janganlah pasal benda yang remeh seperti putus cinta, kena tinggal dengan makwe dan sebagainya dijadikan sebab untuk merosakkan diri. Ya cinta itu penting, tapi hidup ini lebih penting lagi. Ada banyak sangat benda yang kita tak tahu. Jadi belajarlah.

Kadang kadang dalam kesedihan itu ada tersembunyi suatu hakikat yang kita tak sedar kalau tak mahu lapangkan hati. Hidup ini amat berharga dan penuh makna. Kekayaan bukan ada pada BMW atau Merc, tapi pada hati kita.

Rabu, Mei 07, 2008

Usaha dan Ketekunan


Orang berjaya akan berusaha mencari jalan untuk berjaya. Orang yang gagal pula akan berusaha untuk mencari alasan! Sebetulnya, kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih.


Kalau berhadapan sesuatu situasi, cara setiap orang mengatasinya pasti berbeza. Tahap kesabaran setiap orang juga tidak sama. Adakah orang2 berjaya itu memiliki "something special" yang tidak dimiliki oleh orang2 biasa? Sebenarnya dalaman mereka sama jua dengan orang biasa.

Mereka juga bernafas udara yang sama, punya rasa letih, punya rasa jemu, tapi yang membezakan orang biasa dengan mereka ialah keazaman mereka yang tinggi dan juga kepercayaan mereka terhadap apa yang mereka perjuangkan. Mereka bayar apa2 harga yang perlu dibayar. 


Kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. 

Berikan masa pada benda yang anda mahu berjaya. Masa adalah satu benda yang mahal. Sesetengah kita tak sanggup beri masa. Masa itulah sebenarnya yang mahal. Ada yang nak kaya sekelip mata jadi itulah ramai yang beli loteri dan sebagainya. Tapi ramai yang nak jadi begitu, nak kaya cepat, yang untung pastinya tauke loteri itu! 

Ambil contoh mudah, nak faham sesuatu kena dalami dan kena beri masa, berapa banyak masa yang kita sanggup beri untuk pelaburan kepada diri dengan membaca contohnya? 

Fikirlah.

Sabtu, Mei 03, 2008

Shichida Methods dari Jepun


Pernahkah anda dengar Shichida method? Shichida method adalah teknik yang diperkenalkan professor Jepun bernama Makoto Shichida yang mengamalkan latihan menggunakan otak kanan. Ia bertujuan memberikan keupayaan luarbiasa pada anak.

Shichida method bertujuan menghasilkan anak dengan keupayaan berikut; 
keupayaan artistik, IQ hebat, memori / ingatan hebat, keupayaan bahasa, personaliti, muzik, imaginasi, gerak hati dan insan terhebat.  

Tak ramai yang nak hadir kelas ni sebab yurannya tersangat lah mahal. Orang Cina ramai yang hantar anak2 masuk belajar. Yang melayu cuma beberapa kerat saja.

So kat sini saya kongsi lah beberapa teknik supaya semua orang akan dapat manfaatnya sedikit sebanyak..

1. Sewaktu anak nak tidur atau tengah tidur2 ayam, cakap kat dia sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayang kat dia..dia budak baik, dia anak soleh, dia budak kuat, dia bijak belajar dan apa2 lagi sikap positif yang kita harapkan. Buatlah dengan seikhlas hati sambil ramas2 dan picit jari dan tangan dia.Tenangkan hati kita dan buat lah sekerap yang mampu.

2. Guna kad untuk ajar huruf dan nombor serta gambar. Buat kad banyak2 dan tunjuk cepat2. Ini akan membuat otak kanan bekerja keras.

3. Latihan kerja tangan seperti melukis, origami, main tanah liat, water colour dan lain2 kerja kreatif akan menggerakkan otak kanan.

4. Jangan marah2 atau tengking anak.Sebab ini akan disimpan di otak kiri. Kalau dah termarah tu sila patah balik ke step 1 kat atas.

5. Imaginasi boleh dikembangkan dengan bercerita dengan anak2 dan berinteraksi. Suruh dia sambung cerita kita atau minta pendapat dia.

6. Main teka teki seperti teka barang dalam kotak. Ini boleh kembangkan dia punya deria sixth sense.

Semua step ni tak perlu buat lama2, setengah jam sehari pun dah cukup, yang penting ialah istiqomah atau konsisten.

OK, Selamat mencuba.

Sabtu, April 05, 2008

Bulan ni aku dah beli tanpa duit.


Yahoo. (control) 

Bulan ni dah start boleh beli barang-barang BIO ASLI free of charge, tanpa guna duit sebab e-wallet aku dah ada RM 30 lebih. Bulan lepas pun sebenarnya dah boleh tapi aku claim je duit e-wallet aku. So aku harap dapat maintain macam ni. 

Untuk bulan2 berikutnya tak payah la nak keluar duit lagi. Seronok apa beli barang tanpa guna duit. Kalau dapat jual pulak lagi untung. Bayangkan betapa banyaknya faedah yang dapat diperolehi.

Aku harap masalah2 dari segi teknikal yang aku hadapi dulu tak akan berulang lagi. Benda2 tu dulu memang betul2 menguji tahap kesabaran aku. Sampai aku hampir-hampir nak menangis bila fikirkan balik.

Sekarang baru aku sedar. Ya lah, kat kilang aku pun Kak Ita sampai nangis2 kat line sebab follow up pakej 2 in 1 tu. Hem, pakej out in tu memang penting sangat sebab ianya akan dinilai oleh jepun sendiri. Baik atau buruk, semua orang akan rasa. Semua orang akan tanggung akibat.

Aku pun tak selesa bila banyak masalah yang melibatkan dari input berlaku. Aku faham semua orang pun bekerja keras. Technician input boleh dikatakan semua OK, cuma sesekali je bermasalah. Itu pun bukannya semua.

Aku harap kitaorang akan berjaya memberi imej yang baik pada Jepun. Sebab selama ini pun IC1 dah banyak mencapai kemajuan. Harap2 semuanya akan berjalan lancar.

Kalau IC1 success, semua orang pun akan dapat faedah. Maaf, aku dah agak tersasar bercerita pasal kerja kat kilang aku pulak.

So bulan ni aku order Minyak Kelapa campur madu. So cubalah dulu macam mana. Mungkin kalau campur dalam masakan ia akan jadi lebih sedap lagi.
Ti (isteri aku) walaupun agak kekok memasak, tapi dia seorang yang rajin berusaha. Selalu dia call mak dia untuk tanya resepi2 masakan dan petua2 yang perlu dibuat.

Aku pun akan cuba luangkan masa untuk belajar sikit2..

Susah jugak kalau tak tau masak ni, kalau makan kat luar tu, sekejap la duit melayang. Pasal minyak suami power tu, aku ingat tak mau cakap banyak sangat, semua orang kena cuba baru tau hebat tak hebat.

Syukurlah hari ni banyak gak yang dah settle walaupun grid belum update lagi. Takpelah, benda tu sekejap je aku ingat. Jap lagi aku nak makan sup ayam yang Ti buat..Hem harap2 sedap lah ya. Ok lah semua selamat berjuang..

Wassalam.

Selasa, April 01, 2008

Rahsia menjadi seorang jutawan

Anda ada cita-cita mahu jadi jutawan? Tahniah, itulah langkah pertama untuk menjadi jutawan, iaitu memasang niat. Tanpa niat semua kerja tak akan jadi.

Apakah rahsia untuk berjaya dalam hidup? Rahsia untuk menjadi jutawan. Pasang niat, kemudian usaha dan buat apa yang perlu untuk jadi jutawan. Cari duit dan simpan duit . Itu saja. Jangan berhutang dengan riba. Sebenarnya tidak ada apa rahsia sangat pun. Semua pun tahu. Tapi ramai tak kaya? Tahu tapi tak amal?

Ramai orang bercita cita untuk menjadi jutawan. Namun hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang mudah. Ada suatu pepatah lama yang mengatakan, "kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya". Ternyata ianya adalah amat tepat sekali.

Tuan tuan sekalian, RM 1 Juta adalah nilai yang banyak. Amat2 banyak sekali. Dan untuk orang biasa, untuk mengumpulnya adalah misi yang biasanya hampir mustahil seumur hidup mereka. Tapi ada yang berjaya setelah berusaha sepenuh daya.


Berikut saya ingin berkongsi 5 kunci menjadi jutawan berdasarkan apa yang ditulis oleh Azizi Ali dalam bukunya yang mahal itu, yang telah habis saya baca. 

1. MINDA dan FIKIRAN yang hebat - Fikiran membentuk tindakan. Apa yang anda fikir, itulah yang anda akan dapat! Anda fikir anda akan berjaya, anda sudah hampir berjaya! Fikirlah secara positif, dan fokus matlamat anda. Kenapa mahu kaya? Anda kena bebas, kena percaya, kena yakin, kena tajam, kena ligat. Kalau percaya dengan diri baru boleh berjaya. Amalkan selalu sikap minda positif. Apa yang anda fikir, itulah yang akan terjadi. Fikiran membentuk masa depan. Berfikirlah secara positif. Anda akan dapat apa sahaja yang anda mahu. 

2. PERLU BERSIKAP EKSTREM - Perlu usaha lebih sikit. Anda kena melampaui batas sedikit. Maksudnya kena buat lebih dari orang biasa biasa. Kena usaha betul betul. Baru dapat lebih. RM 3 ribu lebih menyimpan setiap bulan adalah ekstrem. Berusaha dengan tekad untuk berjaya, baru menempuh jalan susah tak mengeluh, bukannya tercari cari skim cepat kaya atau skim loteri yang terbaru di pasaran. 

3. Tetapkan IMPIAN atau MATLAMAT- Apa matlamat anda? Kaya sampai macam mana? Nak berapa juta? Jangan ketawakan impian sendiri, anda kena percaya pada apa yang anda impikan, dan ikut serta buat seperti yang di rancang. Berusaha sepenuh daya. Jangan mudah mengalah. Buat rancangan perniagaan dan ikut. Belajar dari orang-orang yang telah berjaya. 

4. MENJALANKAN PERNIAGAAN- Nak jadi jutawan kena berniaga bang! Itu je jalannya. Tidak ada pelan B. Jangan harap makan gaji saja, makan gaji sampai bila? - Perkara ini nampak remeh dan biasa seakan semua orang pun tahu. Tapi bukan semua orang buat! Hadis nabi pun ada kata 1/9 rezeki adalah dari perniagaan. Berniaga adalah punca duit. Makan gaji ada batas, tapi berniaga tak ada batas. Buat perniagaan online contohnya tak perlu berhenti kerja pun. Boleh buat secara sambilan. 

5. APA MAKNA KEHIDUPAN? - Kalau kaya confirm bahagia ke? Tak ada kan? Kita kena hidup, hidup gembira dan tenang. Wang boleh beli hampir semua benda, tapi hidup ni tak boleh dinilai dengan duit. Duit hanya sekeping kertas sahaja. Maka kalau suatu hari nanti anda menjadi jutawan, jangan lupa memberi pada yang perlu. Carilah makna kehidupan anda. Duit bukan boleh beli segalanya, namun duit tetap perlu ada untuk hidup. Berusahalah dan janganlah putus asa. 

Itulah 5 langkah untuk menjadi jutawan. Jutawan yang tahu harga budi dan jasa. Jutawan yang tahu di untung. Dunia akan binasa, tapi hidup perlu terus! Jangan beri alasan!


Sekian, selamat berusaha menjadi jutawan. Jangan sesekali mengalah. Biarkan obor impian untuk menjadi jutawan terus menyala, walau apa jua rintangan yang datang! 

Jumpa anda di puncak kejayaan!!! 

Ahad, Januari 27, 2008

Cara nak jadi kaya raya.


Boleh dikatakan semua orang bercita-cita nak jadi kaya dan hidup senang. Itulah lumrah kehidupan. Hampir semua orang juga ada cita-cita nak hidup bebas dan senang lenang dengan duit dan harta yang melimpah ruah. Memiliki rumah banglo besar, ladang sendiri dan kereta yang berjenama bagus lagi gah. Hidup bebas. Bebas dari segi masa.

Kita kena insaf, bukan senang mahu dapat kesenangan dan kekayaan. Juga bukan susah mahu susah. Itulah hukum kehidupan. Tak salah mengejar kekayaan tapi jangan sampai lupa diri. Fikir dulu niat kenapa nak jadi kaya? Apa definasi kaya? Berapa banyak harta perlu ada baru dipanggil orang kaya? Kaya yang sebenar bukanlah kaya harta, tapi kaya jiwa.

Rezeki dan jodoh pertemuan semuanya sudah tertulis. Tidak terlebih dan terkurang. Tapi kita mestilah berusaha. Mari kita sama-sama belajar bagaimana mahu jadi kaya. Ada macam-macam cara nak jadi kaya. Ada cara baik, ada cara jahat. Ada cara mulia ada cara hina. Ada yang beruntung dah lahir memang kaya. Ada yang berusaha mati-mati tapi tak juga jadi kaya. Apa yang tak kena?

Jodoh pertemuan dan rezeki adalah ketentuan dari tuhan. Tapi tuhan suruh kita berusaha. Kalau nak jadi kaya, berusahalah cari duit dan kumpul harta. Contohnya, ada yang kahwin dengan mak janda kaya, terus jadi kaya. Ha nampak, senang kan nak jadi kaya? Nampak senang tapi kalau tak usaha megurat mak janda tadi memang tak jadi.

Untuk jadi kaya dengan berkat kita tentulah mahu cara yang baik, contohnya dengan berniaga dan menyimpan duit. Berniaga perniagaan yang halal dan jujur. Barulah berkat dan hati tenang. Kaya tapi hati resah gelisah buat apa? Jadi jangan makan rasuah untuk kaya.

Cara nak kaya macam mana sebenarnya? Usahalah bersungguh-sungguh di jalan yang betul dan mengikut lunas perundangan. Usahalah gila-gila, mati-mati. Itu saja. Rajin bersedekah agar ada bantuan ajaib dari langit.

Tengoklah apa orang kaya buat dan tirulah apa mereka buat! Makan gaji pun boleh kaya, tapi janganlah asyik puas hati dengan makan gaji saja. Kalau harap makan gaji, sampai ke tua pun susah nak kaya. Kalau anda simpan RM seribu sebulan, selama 30 tahun tanpa miss walau satu bulan,(tidak melaburkan di mana-mana), tahukah anda jumlah terkumpul itu tidak sampai pun setengah juta?

Boleh dikatakan kalau macam tu, kalau anda makan gaji, hampir mustahil anda akan kaya, kecuali anda simpan duit gila-gila dan mati-mati. Jadi, apakah langkah-langkah yang betul untuk menjadi kaya?

Pertama sekali anda kena ada masa yang banyak dilaburkan. Benarlah kata pepatah, masa itu emas. Kalau tak percaya cuba letak RM 10 ribu dalam akaun ASB. Dalam masa 10 tahun, kalau anda tak usik berapa anda ada? Kalau anda ada masa selama seratus tahun bagaimana? Tentu boleh jadi jutawan kan? Tapi bukan semua orang ada masa yang banyak macam tu. Paling kuat pun 30 tahun, jadi anda kenalah simpan lebih sikit, itu saja. Kenapa saya cakap macam tu?, sebab kita pun tak mau lah asyik simpan jer tanpa menuai hasil. Tapi tuai hasil bila tiba masanya, bukan dengan berjoli masa muda. Bila dah tua apa hasil yang ada?

ASB tu baru untung 7-8 % sahaja setahun. Ada dana yang mampu beri 10- 15 % pun setahun, tapi kita macam malas berusaha nak cari. Kita tahu, sedar dan ada ilmu, tapi malas nak bertindak, suka tunggu dan lihat.

Public Mutual adalah contoh pelaburan yang baik. Pulangan lumayan jika tahu menguruskan risiko pelaburan. Insuran juga bagus untuk melabur. Ia mendisiplinkan diri sebab duitnya susah nak keluar, tak macam ASB.

Kalau nak kaya, tentukan matlamat berapa duit anda nak kumpul dan kemudian usahalah. Dengan adanya matlamat barulah kita akan berusaha denga jelas. Usaha kena ada. Cara kena betul. Sistem kena ada. Bukan hanya berangan angan kosong. Cari jalan dan buat. Fikir.

Bukan sehari dua boleh terus jadi kaya. Kita kenalah buat sesuatu yang mendatangkan keuntungan. Berniaga adalah jalan yang terbaik. Masa, sesuatu yang perlu kita laburkan juga.

Modal tak ada? Itu alasan yang tak boleh di terima. Kalau nak jadi kaya, kenalah berusaha cari modal. Sedikit pun tak apa. Mula - mula memanglah susah, nak jadi kaya bukannya mengambil masa sehari dua. Lainlah kalau anda nak main Jackpot. Lagi satu ialah skim cepat kaya. Janganlah terlalu mudah sangat tertipu. Yang peliknya, benda yang betul tak nak buat pulak, benda yang tipu pulak yang kita terkejar kejar nak buat.

Berniaga kena ada barang nak jual, barulah berniaga namanya. Ada secara jelas dari mana duit untung, berapa modal berapa untung. Kalau bayar duit kemudian tiap tiap bulan duit masuk, mana datang duit tu? Duit bukannya macam daun. Mana ada orang senang senang nak bagi duit?

Berniaga macam mana nak kaya? Jual nasi lemak? Jual burger? Jual goreng pisang? Itu tak kisah, yang penting kena jual secara besar, setiap masa dan meluas baru boleh kaya. Kalau jual kat taman anda saja, boleh, tapi lambat la nak kaya.

Kenyataannya, hampir semua orang mampu menjadi jutawan jika rajin menyimpan duit setiap bulan. Setiap bulan tanpa terlepas, simpan duit. Bunyinya macam senang dan nampak juga senang, tapi tak semua orang buat. Tak semua orang menyimpan duit setiap bulan dengan penuh disiplin. Lebih teruk lagi apa? Bukan saja tak menyimpan, malahan berhutang lagi. Kalau macam ni jangan haraplah nak kaya.

Macam mana cara bijak untuk cari duit?

Lihat orang-orang yang sudah berjaya dan belajarlah dari mereka! Buat apa yang mereka buat. Mereka biasanya berniaga.

Ada macam-macam cabang perniagaan di Malaysia. Hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih. Kalau terus makan gaji, sampai bila nak kaya? Buka mata buka hati dan bertindaklah dengan berani!

Anda boleh jadi ajen insuran kalau mahu. Ada banyak syarikat insuran yang hebat hebat di Malaysia. Anda juga boleh buat MLM kalau yakin. Apa pilihan anda jika ingin membuat MLM?

Tentulah dengan menyertai MLM yang hebat dan global. Di Malaysia bukan saja ada beratus, malah beribu syarikat MLM. Ada yang betul dan ada juga yang tak berapa betul. Ada yang senang dan ada juga yang susah, contohnya jual tuala wanita. Tapi payah, macam tu pun ada juga orang yang buat, ada juga yang berjaya jadi jutawan.

Sekarang ini zaman komputer dan internet, lagilah senang nak buat MLM. Tapi anda kenalah cari MLM yang sudah mantap dan terbukti melahirkan ramai jutawan.

Anda boleh juga menjual secara besar dan meluas. Bagaimana? Guna internet untuk menyebarkan pada ramai orang tentang barang yang kita nak jual. Cari downline, sebab ia umpama staff anda yang akan bekerja untuk anda. Ini bukan skim cepat kaya, ini perniagaan jual barang secara online di internet. Konsep MLM cari downline.

Kebanyakan usaha untuk menjadi kaya adalah usaha untuk berjumpa dan berberniaga urusan dengan manusia. Urusan jual beli. Jika anda tak mahu berurusan dengan manusia macam mana mahu kaya? Berurusan dengan syarikat Sport Toto sahaja boleh jadi kaya ke? Jiran saya jual komik pun kaya juga.

Kata Ustaz Zahazan, kalau nak kaya kena rajin sembahyang sunat Dhuha.

Lagi satu la, kalau nak kaya kena rajin bersedekah. Kena selalu infak harta ke jalan Allah. Kena tolong orang susah, orang miskin dan anak-anak yatim. Yang ni bukan saya yang cakap ya, ini saya belajar dari ustaz-ustaz dan dalil dari Al-quran.

Penulis ialah seorang dealer syarikat emas Public Gold kod PG00073921

Foto saya
Saya ialah seorang dealer berdaftar Public Gold sejak September 2016. Dalam blog ini saya menulis nota kehidupan peribadi. Selain itu, saya berkongsi kebaikan Public Gold. Public Gold cuma salah satu jenama syarikat menjual emas. Harga setiap syarikat emas adalah sedikit berbeza-beza antara syarikat emas kerana faktor tersendiri. Saya bukanlah penganalisis professional, namun saya memberikan input berkaitan Public Gold secara jujur kerana saya sendiri melabur dengan emas Public Gold. Data dalam blog ini untuk saya meneliti sendiri perkembangan diri saya dalam kehidupan sebagai seorang dealer emas Public Gold dan juga sebagai seorang insan yang cuba membaiki diri. Whatsapp saya 012-9108905 kalau ingin membeli emas Public Gold.
Budaya Public Gold ialah belajar dan terus belajar. Anda boleh follow FB Page Public Gold Internasional untuk mendapat maklumat terkini.