Khamis, Jun 18, 2015

Puasa day 1


Selamat berpuasa semua untuk tahun 2015 atau mengikut tahun Islam ialah 1436.

Hari ni suasana kat tempat kerja aku senyap sunyi. Student semalam dah habis wrap-up mereka punya Final Year Project. Semalam juga mereka celebrate tamatnya segala struggle mereka. Ada yang celebrate dengan agak bahaya seperti memanjat ke anjung yang agak tinggi sekitar tingkat 4.

Hmm..begitulah orang muda.

Secara rasminya esok adalah hari terakhir student untuk semester tahun ini. Kemudian bermulalah cuti semester sehingga pertengahan Julai dimana student-student baru akan masuk.

Student yang sedang belajar pula memang bertuah sebab cuti semester mereka kena dengan timing puasa. Mereka akan sambung pengajian semula kira-kira seminggu selepas raya. Aku sebagai staff pula tak boleh la nak cuti macam mereka.

Sepanjang bulan puasa dengan ketiadaan student ni bolehla aku buat apa-apa yang patut seperti kemaskan lab dan sebagainya. Untuk hari ni hari pertama puasa aku cuma duduk dekat bilik sahaja.

Staff dapat sekotak kurma so aku dah pergi ambik tadi. Semester depan mungkin ada lagi staff baru yang akan masuk sebab tempat letak punch card tadi sedang ditambah oleh Lan.

Tepat pukul 5.15 aku dah bersiap-siap nak balik. Alhamdulillah tahun ni kerja dah office hour so takdelah macam tahun lepas berbuka atas jalan raya atau kat stesen minyak jer, hu hu.

Singgah kat bazar Ramadhan kawasan Sungai Tangkas. Abang Nazri pun berniaga kat area ni. Aku cuba gak cari gerai dia tapi tak kesampaian sebab gerai dia hujung sangat malas lak nak menapak.

Hari ni beli nasi kandar. Mahal der. Rm8 sebungkus. Kakak yang berniaga tu cakap sebab nasi dan lauk banyak. Tapi memang banyak gila aku tengok. Beli 2 bungkus jadi rm16. So itu jelah juadah aku buka puasa petang ni, InsyaAllah. Tak ade kuih bagai semua. Mujurla ada jugak buah kurma maryami kat rumah.  

Oklah puasa rajin-rajin ya semua.




Rabu, Jun 17, 2015

satu soalan


Tak mau cakap pasal 1MDB.
Tak mau cerita pasal MAS.
Tak mau ungkit Perwaja.

Mau cerita pasal syarikat lain yang juga berkait kerajaan seperti.

Syarikat Prasarana Negara.
MIMOS
KTM
Amanah Raya
Jambatan Kedua
Indah Water Konsortium.
Cyberview
Jaring (dah tutup kedai)

Kesemua mereka beroperasi dalam kerugian yang banyak hingga jutaan wang hangus.

Soalan: Adakah boss mereka ada belajar matematik dan tahu kira?

Come on.




Ahad, Jun 14, 2015

Contoh ayat power yang membuat anda cair


Contoh ayat power.

Syarikat x

"Diorg dah bermula...dah isi borang...dah ready nak dapat duit hari-hari dgn sistem kami.!!! 
Tahniah ...Minimum rm105-rm1000 SEHARI!!!
Anda bila lagi? Jangan tunggu lagi. Bertindak segera. 
012-9108905"
p/s-cara dapat duit tidak diberitahu tapi kena jumpa dikedai mamak untuk dapat penerangan. 






Contoh ayat tak power

Syarikat y

Syarikat kami menjual minyak kelapa dara. Sertai kami dan mula menjual segera dengan keuntungan bersih rm20 untuk setiap produk yang anda jual. Ini laman website syarikat kami. 







Yang manakah anda fikir lebih ramai orang akan minat nak join?

Rasanya mungkin yang pertama sebab pulangan adalah lebih lumayan kan. 
Tapi yang mana ada ciri-ciri nak berniaga lama.
Yang mana ada ciri-ciri nak menipu?
Syarikat mana jual barang? 
Syarikat mana jual harapan?
Saya sendiri tak ada jawapan tepat tetapi kalau yang pertama tu betul macam tu hmm mungkin syarikat Permodalan besar seperti PNB dengan produk seperti ASB pun terpaksa gulung tikar sebab tak boleh lawan pulangan hasil yang dijanjikan oleh syarikat x. 

Jumaat, Jun 12, 2015

Tun yang saya kenali


Tun Mahathir adalah tokoh besar negara kita. Semasa zaman Tun memerintah saya sangat bangga menjadi rakyat Malaysia. Siaran langsung di televisyen persidangan Agong Umno adalah sesuatu yang sangat mengujakan saya.

Tun adalah pemimpin yang tersendiri dan punya keberanian melakukan hal-hal yang perlukan "courage" atau kekuatan dalaman yang tinggi untuk dilaksanakan.

Saya akui, semasa Tun memecat Anwar saya merasa kecewa dan marah dengan Tun.

Tapi bak kata mereka, "time heal all wounds". Perasaan itu boleh dikatakan tiada lagi.

Semasa Tun datang ke tempat kerja saya di GMI baru-baru ini saya adalah antara staff yang teruja nak berjumpa dan bersalam dengan Tun.

Tun sudah bersara dan umurnya pun begitu lanjut. Tiada apa lagi yang hendak dikejar oleh Tun. Tiada apa lagi yang belum dibuktikan oleh Tun. Tun boleh saja hidup selesa "without a care" for anything that should happen.

Tapi hari ini Tun masih berjuang. Tun masih bersuara demi kepentingan negara. Bukan sedikit orang yang membenci Tun. Arena politik adalah gelanggang yang sadis dan kejam. Saya yang tak ada pangkat ni di panggil anjing hanya kerana saya menyokong Tun dengan ikhlas.

Hari ini saya dah tak minat dengan perhimpunan Agong Umno. In fact, saya tak pernah memberi undi pada mana-mana parti.

Akhir-akhir ini bila Tun lantang mengkritik kerajaan banyak media yang cuba mendedahkan kembali kononnya Tun semasa jadi PM dahulu buat macam-macam hal yang tak betul. Adakah mereka cuba buat lawak? Maksudnya Tun dahulu buat begitu dan begini, maka hari ini pun nak buat juga begitu dan begini?

Come on.


Isnin, Jun 08, 2015

1 billion


1 billion ialah satu ribu kali sejuta atau seribu juta.

Artis rap Nicki Minaj bila ditanya bila dia akan dapat mengumpul 1 billion, dia mensasarkan tahun 2025 yakni sepuluh tahun dari sekarang.

Pendapatan Nicki tahun lepas hanyalah 14 juta.

Nicki telah melancarkan 3 album.

Nicki menjual 3 jenama minyak wangi.

Nicki juga berlakon filem Barbershop 3.

Majalah Vogue mengiktiraf Nicki sebagai artis rap wanita terbaik sepanjang zaman (most visible female rappers of all time).

Nicki menyatakan dengan hanya menjual album belum mampu menjadi billionaire. Apa yang perlu untuk menjadi billionaire (seribu juta) ialah dengan bisness, pelaburan, membuka syarikat, majukannya dan menjual syarikat itu kepada pelabur.

Begitulah susahnya Nicki Minaj berusaha untuk mengumpul 1 billion.

Usia Nicki Minaj ialah 32 tahun.

Kita ada ????

Kita ada 1MDB.

Rabu, Mei 27, 2015

Zaman paranoid


Kita hidup di zaman yang pelik. Zaman tahun 2015. Kalau anda menonton Filem "back to the future" tahun 2015 adalah tahun future yang paling jauh kedepan mereka pergi. Tapi kita sekarang sampai ke tahun yang kononnya paling jauh itu hingga terpaksa naik mesin masa untuk sampai. Tapi kita dah sampai juga akhirnya tanpa mesin masa.

2015, apa yang istimewa dengan 2015. Kalau 15 tahun lepas masa nak masuk ke tahun 2000 kecoh dengan Y2K, kononnya sistem komputer akan "collapse" kerana tak boleh baca tahun 00.

15 tahun berlalu jua. Apa yang terjadi? Banyak benda. Banyak hal. Banyak cerita.

Tahun 00 aku mula bekerja dengan Toshiba dan aku berhenti pada tahun 2015.

Tahun 00 harga rumah masih dalam kemampuan tapi tahun 2015 harga rumah (area KL) sudah tak masuk akal. Adakah harga rumah akan naik lagi pada masa depan? Mungkin  ya. Naik sehingga sejuta atau berapa? Masa tu mungkin kita dah tak boleh gelak macam kita gelak dekat duit rupiah yang selalunya main juta saja. Setiap kali harga barang naik setiap itulah nilai duit jatuh.

Tahun 00 syarikat penerbangan MAS adalah syarikat GLC besar yang gah. Siapa kerja MAS pastinya bangga bila orang kampung tanya "kau kerja apa?" Tahun 2015 MAS rugi teruk dan terpaksa buang ramai pekerja.

Tahun 00 tak ada GST. Tahun 2015 GST datang dengan seribu keluhan.

Tahun 00 wawasan 2020 begitu gah. Tahun 2015 tinggal 5 tahun sebelum 2020 Malaysia terkial-kial nak bayar hutang. Pengambilan kakitangan kerajaan dibeku. Dana negara terpaksa cover pelbagai syarikat yang rugi. Bila syarikat rugi mereka buang orang bawah. Kenapa? Orang atas bijak sangat kot. Orang bawah pandai-pandai la nak hidup. MAS siap ambil mat salleh lagi jadi boss.

Banyak benda boleh berlaku dalam 15 tahun.

Bagi aku 2015 adalah zaman paranoid. Technician nak beli IC semua direkod, takut buat bom katanya. Kesian senior tech aku, pening kepala fikir bila nama kena submit Interpol untuk rekod. Beli IC untuk student belajar jer pun.

2015.
Itulah dia zaman paranoid.    
Masih belum ada mesin masa pada tahun ini.






Jumaat, Mei 15, 2015

Broadband prepaid termurah di Malaysia



Adakah anda mencari internet broadband prepaid termurah? Di Malaysia kita ada banyak pilihan.  

Apakah syarikat yang memberikan data yang paling banyak dengan nilai wang anda? 



Dibawah ini saya quote dan unquote apa yang saya tulis lebih 2 tahun lepas iaitu pada 21 Februari 2013.

"Untuk pakej RM68 maxis anda diberi data sebanyak 3 Gigabyte.
Untuk pakej RM68 celcom anda diberi data sebanyak 4 Gigabyte.
Untuk pakej RM68 YES anda diberi data sebanyak 5 gigabyte.
Untuk pakej RM68 u-mobile anda dapat data sebanyak 6 Gigabyte.
Untuk isian RM50 Digi anda dapat data 300 mb sehari selama 50 hari.
TM streamyx Wifi - Serendah RM 110 sebulan data tanpa had pada kelajuan 1 Megabit per second
Wifi Kedai mamak- Free"

Fast forward ke hari ini, 15 May 2015, Maxis nampaknya ada membuat sedikit tawaran menarik melalui monster bytes promo
dimana ia mula menjual 1 Gigabyte pada harga RM 5. (untuk sehari) 
Jadi harga ini agak menarik kerana jika kita tengok harga prepaid biasa di senarai atas, 3 Gigabyte pun Maxis jual Rm68 iaitu sekitar RM22 lebih untuk 1 gigabyte.  

Jadi RM 5 untuk 1 Gigabyte (Maxis) tu kira tersangat murah, secara perbandingan. 

RM 5 kalau u mobile baru dapat 500 Megabyte, 
(500 Megabyte+500 Megabyte=1 Gigabyte)

so kiranya Maxis lebih memberikan data pada nilai RM5.
Melalui moster bytes promo juga Maxis menjual 2 Gigabytes data pada harga RM7, dimana ini bersamaan dengan RM3.50 untuk 1 Gigabyte data.

Pada pandangan saya 1 Giga dengan RM3.50 adalah broadband paling murah  di Malaysia setakat hari ini setakat yang saya tahu.
Tambah pula lagi signal Maxis memang power. So ini bukan nak up Maxis, sekadar berkongsi fakta sahaja ok. 

Kalau anda tahu broadband internet yang lebih murah sila berkongsi kerana kita semua pun mahu tahu juga.

Monster bytes dari Maxis ini adalah promosi terhad dari Maxis, jadi baik anda ambil peluang ini selagi promosi ini masih berjalan.

Buat masa ni saya kecewa dengan u mobile. Saya tak tahu apa masalah u mobile. Signal u mobile di kawasan saya (kajang) pun kini dah merosot dan tak laju macam dulu.  

Nota: Kadar harga broadband (prepaid) di atas tertakluk pada perubahan mengikut budi bicara setiap syarikat dan bakal berubah dari semasa ke semasa. 

Khamis, Mei 14, 2015

Apa boleh buat?


Apa yang anda dan saya boleh buat?

Dunia semakin tua.

Tapi manusia masih leka mengejar dunia. Manusia perlu mencari duit sehingga terlupa yang dunia semakin tenat. Sungai tercemar. Sampah sarap mengalir ke laut yang indah. Siapa peduli? Manusia sibuk mencari jalan pintas agar tidak jem. Manusia sibuk membeli dan beratur di shopping kompleks agar semuanya nampak baru dan segak. Plastik sampah buat apa ikat, yang kutip tu kan memang orang tak berpelajaran? Biar dia rasa. Patut ke begitu?

Nilai duit semakin susut sebab harga barang saban tahun asyik naik. Orang yang susah semakin susah, kena berhutang. Ingatkan  orang susah je berhutang, kerajaan pun berhutang? Mana ada masa nak fikir. Kerajaan punya hal. Buat apa nak sibuk. Patut ke begitu?

Semua orang sibuk kumpul harta. Yang ada pangkat pula akan berusaha mati-mati pertahankan pangkat dan cuba pula dapatkan pangkat yang lebih tinggi. Harta saja tak cukup, mesti ada sekali sosial status. Status facebook la tu?

Agaknya bila pokok yang paling penghabisan ditebang dan ikan yang paling akhir ditangkap barulah manusia akan sedar bahawasanya duit adalah kertas dan kertas tak boleh dimakan.

Itulah permainan duniawi.  

Isnin, Mei 11, 2015

Penawar lelah (asma)


Lelah atau asma adalah satu simptom yang berlaku bila salur nafas yang normal mula mengecil akibat rangsangan tertentu seperti habuk, debu dan sebagainya. Akibatnya nafas menjadi sesak dan oksigen sukar untuk sampai ke tempat sepatutnya.

Kanak-kanak atau dewasa bisa saja mendapat penyakit atau gejala asma. Asma juga biasanya datang bersama selsema dan hidung berair.

Saya sendiri pernah mendapat serangan asma yang teruk sehingga hampir pengsan. Serangan asma biasanya berlaku pada waktu dingin dinihari sehingga waktu subuh. Pada tahap yang lebih teruk, serangan asma tidak lagi mengira masa.

Semasa remaja kesihatan saya agak stabil. Tapi lewat umur 35 saya mula diserang asma. Ini agak pelik kerana saya bukan perokok dan saya juga makan secara sihat.

Saya berusaha berubat. Kebanyakan orang pastinya tahu yang ubat klinik atau hospital bagi asma ialah "inhaler" iaitu ubat standard bagi orang asma. Saya tak mahu "inhaler" sebab ia bukan ubat semulajadi. Semua tahu yang inhaler adalah ubat jenis dadah.

Saya mencuba macam-macam ubat tradisional untuk asma.

Madu, delima, habbatus sauda, kordiseps, pil dari CNI, Amway, Cosway dan bermacam way lagi. Ada juga saya cuba ubatan kampung dan ubatan pelbagai produk kesihatan di ekspo dan butik.

Paling mahal saya pernah cuba ubat herba cina bernilai lebih rm500.

Ubat di atas ada yang OK juga, tapi asma saya tetap ada sesekali dia datang juga. Dengan kata lain, tidak sembuh sepenuhnya.

Sehinggalah bila saya jumpa stevia. Stevia dari pokok stevia. Itulah penawar asma untuk saya.
Ini adalah perkongsian ikhlas dari saya dan saya bukan penjual stevia.

Ahad, Mei 10, 2015

Sungai Melaka mengalir lesu

Hujung minggu 1 Mei 2015 yang panjang, susahnya nak berjalan sebab ramai orang bercuti dan hotel kebanyakannya penuh. Nak pergi Tioman pun tak dapat sebab pilihanraya Rompin menyebabkan Mersing menjadi sesak dengan orang luar. Hotel untuk family boleh dikatakan semuanya "fully booked." So Melaka jelah destinasi yang agak dekat untuk pergi bersiar mengisi masa cuti.

Beginilah suasana di pinggir sungai Melaka yang mengalir lesu di pagi hari.






Cantik lagi sungai Melaka ni, jadi sama-samalah kita berusaha menjaganya. Melaka yang satu ketika dahulu adalah pusat empayar Kesultanan Melayu yang gemilang kini hanyalah negeri yang penuh dengan pelbagai muzium untuk dikenang.

Pusat pentadbiran Malaysia kini adalah di Putrajaya. Adakah Putrajaya juga akan senasib dengan Melaka? Hanya masa mampu menjawabnya.

Sabtu, Mei 02, 2015

Adakah anda marah dengan GST?


Sudah beberapa hari bulan April berlalu. Bulan April yang datang bersama GST. Kesan GST terkena kepada semua lapisan masyarakat. Tapi bagi orang yang kaya mungkin tak terasa sangat. Apalah sangat 60 sen setiap kali beli topup Rm10, apa barang pakai topup.

GST ialah sistem cukai baru kerajaan. Perlukah anda rasa marah?
Hakikatnya kerajaan Malaysia berhutang dan hutang mesti dibayar. Cara bayar? Kena cari duit melalui cukai. There's no other way.

Kalau tak mahu bayar sekarang boleh. Tangguh dulu. Akibatnya? Hutang semakin bertambah akibat bunga riba. Yang kena bayar? Generasi akan datang, iaitu anak cucu kita yang bakal lahir atau yang belum lahir. Lahir sahaja, menangis, hutang kerajaan Malaysia sudah siap tunggu.

Saya tak marah dengan GST. Sekurang-kurangnya mereka berusaha bayar hutang.

Saya cuma marah Menteri yang cuba pusing cerita. Saya marah peniaga yang ambil kesempatan. Saya sedih dengan pembaziran hasil negara. Hutang bukan cara selesai masalah. Yang lebih pelik ialah berhutang untuk bayar hutang.

Malaysian, you are better than this!


Jumaat, April 17, 2015

Tugas technician


Technician atau juruteknik.

Aku bertugas sebagai juruteknik kilang Toshiba bermula tahun 2000 sehingga 2015.

Ingatkan lepas 15 tahun nak kerja lain pulak, tapi dapat offer kerja technician jugak. Itulah jawatanku di German Malaysian Institute sejak 2015 pula.

Tapi apa tugas technician?

Technician atau juruteknik tugas mereka ialah membaiki kerosakan. Kalau juruteknik kereta maka kereta rosak ialah kerja mereka. Kalau juruteknik elektrik maka kena baiki perihal bab elektrik yang bermasalah. Apa yang rosak juruteknik kena betulkan semula sampai ok. Susah kan kerja juruteknik?

Dahulu technician kilang tugasku repair mesin kilang yang bermasalah.

Di GMI ada mesin ke? Ada tapi bukanlah banyak macam kat kilang.

Aku sendiri tak tahu apa tugas technician GMI semasa aku minta dulu. Technician bangunan mungkin? Aku tak tahu pasal elektrikal atau wiring.

Ada banyak department di GMI. Aku tercampak ke Department electronic industry (industrial electronic).

Rupanya tugasku ialah menjaga lab budak-budak basic electronic. Elektronik komponen yang terbakar aku kena ganti. Air cond tak sejuk mereka beritahu. Projektor tak nyala mereka panggil. Kerusi patah technician kena buat. Alatan lab tak cukup mereka tanya technician. Barang sampai technician pergi angkat. Langsir lab technician jahit. Langsir bilik pensyarah? come on laa..........

Technician GMI taklah kerja keras sangat macam kilang. Tapi ia punya cabaran tersendiri. Apapun jawatan anda, silalah bekerja dengan ikhlas.

Kalau kerja technician makan gaji, memang susah nak jadi kaya tahap jutawan. Kalau sekadar nak bergaya sikit sikit tu boleh lah. 

Tak nafi lah technician ni biasanya smart kan. 

Ada satu alatan wajib ada kalau jadi technician kilang. Alat itu ialah allen key. Semasa aku jadi technician Toshiba dahulu kami memang dibekalkan dengan allen key yang paling berkualiti iaitu allen key Swiss. Kebanyakan kedai hard ware tidak ada jual allen key jenis ni sebab ia sangat mahal dan berkualiti tinggi, Kini ia sudah boleh di beli secara online. 


Jumaat, April 10, 2015

Tips untuk berjaya dalam interview


Semasa saya ditemuduga untuk jawatan technician GMI (German Malaysia Institute) baru-baru ini, ada seramai 12 orang calon yang bersaing untuk mendapat jawatan itu. Ada 11 lelaki dan seorang perempuan. Ada yang muda dan ada juga yang sedikit berusia seperti saya (37 tahun). Yang muda-muda ni saya kira lebih ramai.

Ada 2 pemuda berpakaian kemas siap dengan neck tie. Saya berkemeja lengan panjang, kemas tapi saya tak pakai neck tie. Pada fikiran saya jawatan technician cuma level bawahan yang tak berapa eksklusif (executive level), jadi tak perlu tie tapi perlu juga nampak segak. Apapun saya rasa rugi tak pakai neck tie.

Ada beberapa orang yang nampak terlampau "simple" seolah-olah tidak begitu bersungguh untuk interview (seperti melepas batuk di tangga). Mereka berkemeja tapi kasutnya agak kurang formal, sedangkan GMI adalah intitusi pendidikan yang agak formal.

Ada 4 orang panel penemuduga. GMI nampaknya serius dengan proses temuduga ini. Mereka yang menemuduga pula adalah berjawatan penting seperti Head of Section dan bahkan CEO mereka pun ada! Ada 2 lelaki dan 2 perempuan. Saya agak terkejut kerana yang lelaki penemudaga itu sendiri tidak memakai neck tie! Tapi jangan pandang enteng, pangkat mereka di GMI adalah penting (CEO tu).

Selepas  memberi salam, saya meminta izin untuk duduk. Mereka memperkenalkan diri dan salah seorang terus bertanya dalam bahasa Inggeris. "Tell us about yourself...." Saya pun terus la goreng bercakap bahasa Inggeris setakat yang saya tahu la sebab saya ni bukanlah pandai speaking.

Tergagap-gagap jugalah nak bercakap sampai satu tahap saya "blur" dan dah tak tahu nak cakap apa dah. Nampaknya bila dah mesra sikit mereka tidak terlampau "rigid". Salah seorang dari mereka menyuruh saya agar bercakap bahasa Melayu. Selepas itu perbualan kami menjadi lancar dan mesra.

Ada yang membelek-belek sijil saya. Tanya pasal diploma saya. Tapi yang saya rasa "power" bukan diploma itu, tapi sijil maintenance UPS (uninterruptible power supply) itu yang mahal. Yang kedua mahal ialah pengalaman kerja hampir 15 tahun dengan Toshiba.

Mereka tanya kenapa berhenti dari Toshiba? Saya selamba je jawab saya dah penat kerja kilang, siang malam tak kira hari raya tak kira sabtu ahad, semua hari kena kerja tanpa ada life.

Ada juga yang tanya soalan psikologi. "What is your friend perception about you?" Saya jawab saya ni dianggap pendiam, tapi saya ni bukan pendiam tapi orang suka beranggapan begitu.

Mereka bertanya lagi, "beraninya awak berhenti macam tu saja? Awak ada anak dan isteri?" Saya cakap saya sangat takut, tapi saya yakin akan ada job jika kita berusaha. Saya cakap bahkan ada beberapa kilang besar kawasan Bangi panggil saya datang interview. Kilang Denso ada panggil interview jawatan Technical Assistant. "Kalau dapat Denso macam mana?" tanya cik Yana. Saya jawab "kalau GMI panggil saya tak pandang dah yang lain," mereka ketawa.

Mereka tanya ada kenal sesiapa kat dalam GMI? Saya jawab ya, saya kenal Mazlan, geng main ping-pong. Mereka nampak "impressed".

Selepas habis sesi temuduga saya cakap "untill we meet again", mereka ketawa lagi. Selepas memberi salam saya pun pulang.

Temuduga itu berlangsung pada 16 Februari. Pada 5 March salah seorang wakil GMI menelefon saya memberitahu yang saya berjaya.

Ada 2 orang saja yang mereka ambil. Saya dan Syazwan. Wan dan saya kini dah jadi member. Wan muda lagi, tapi dia punya pengalaman maintenance dan repair kapal terbang sebab dulu dia kerja technician MAS.

Wan hari tu pakai segak (tanpa tie). Rupanya Wan lagi dahsyat dia speking penuh sebab Wan masa kerja MAS dah biasa kerja dengan mat salleh dan tak ada masalah speaking bahasa Inggeris.

Tips saya untuk berjaya interview ialah "your English must be superb, have great attitude, be humble, be honest, and above all, be yourself"

Temuduga hari ini penuh persaingan. Bayangkan 12 orang dan hanya 2 orang yang mereka pilih. Hari ini yang ada degree sekalipun terpaksa struggle, jadi jika anda pergi interview, jangan ambil mudah. Selidik dahulu syarikat itu sedikit sebanyak. Kalau ada "cable" sekalipun, anda kena "perform" juga. Syukurlah, saya berjaya masuk tanpa guna "cable".

Sabtu, April 04, 2015

Presiden dan CEO Petronas yang baru


Dato Wan Zulkifli Wan Ariffin secara rasminya telah memulakan tugasnya sebagai Presiden dan CEO Petronas yang baru bermula 1 April 2015.

Secara kebetulan tarikh itu juga sama dengan Ahmad Sadli Ibrahim yang memulakan tugasnya sebagai juruteknik di GMI.

Semoga mereka dapat memberikan sumbangan yang bermakna untuk organisasi masing-masing. Walaupun pangkat mereka berbeza, tapi kesungguhan kerja itu yang akan menjadi ukuran.




Selasa, Mac 31, 2015

Tugas di tempat baru


Esok aku bakal memulakan tugas di tempat baru. Aku akan bekerja sebagai juruteknik kelas 3 di GMI, German Malaysia Institute.

Tugas aku secara umumnya ialah memastikan mesin-mesin untuk kursus Industri Elektronik berada dalam keadaan terbaik.

Aku akan pegang kunci bilik mesin dan student akan jumpa aku untuk guna mesin.

Kerjanya isnin hingga jumaat. Sabtu ahad tiada kelas.

Tekanan kerja tetap ada tapi tak seteruk macam aku kerja kilang dulu, rasanya.

Apapun aku sebagai pekerja baru perlu cepat belajar dan berusaha.

Cayok.

Ahad, Mac 29, 2015

Takutnya


Orang biasa macam aku sangat  takut dengan GST. Maklumlah, gaji pun tak besar dan anak-anak masih panjang lagi tahun bersekolah.

Kalau jutawan mungkin dia tak takut la sebab duit dia banyak. Dia boleh membeli dengan rileks jer tak kira lah 1 April atau bila-bila.

Dekat pasar raya orang ramai memborong barang hari ini. Nampak macam panik. Mereka agaknya cuba beli sebanyak mungkin sebelum GST dilaksanakan bermula 1 April 2015.

Ekonomi dalam keadaan tidak menentu. Harap pemimpin negara kita peka dengan masalah rakyat seperti aku. Bukan nak mintak gaji lebih, cuma mahu harga barang tidak melampau.

Pemimpin patut tegas atasi rasuah dan pembaziran. Kebijaksanaan mengurus dana negara patut menjadi kriteria dalam memilih pemimpin. Alangkah baiknya jika pemimpin bijak dan luhur dalam mentadbir negara.

Begitulah harapanku.

Jumaat, Mac 27, 2015

Berat badan 42 kg


Tadi pagi buat medical check up dekat klinik An Nur di Bangi. Klinik swasta so cepat je dia buat.

Buat x-ray, ambil darah dan test air kencing.
Tinggi 165 cm, berat 42 kg.
Ujian buta warna- OK
Ujian dadah- Negatif
Kesihatan - Umumnya OK cuma ada allergik dan asma.
Mata- Suspek rabun jauh.

Keputusan: Lulus

Jadi aku dah boleh lapor diri dekat tempat kerja baru bermula 1 April 2015.

Khamis, Mac 26, 2015

Kenapa coca-cola "zero" merbahaya


Gadis remaja yang mahu berdiet tapi pada masa yang sama mahu minum coca-cola biasanya akan mengambil coca-cola versi diet seperti coca-cola light atau coca-cola zero.

Mereka mungkin merasa bijak kerana menyangka coca-cola zero ini tiada gula jadi tiada masalah besar. Mereka sebenarnya silap! Versi tanpa gula adalah lebih merbahaya.

Cuba fikirkan, kenapa coca-cola zero tetap berasa manis dan sedap walaupun tiada gula langsung?

Ini kerana coca-cola zero menggunakan aspartam sebagai pemanis tiruan menggantikan gula. Silalah baca label.

Aspartam adalah bahan kimia yang bertindak sebagai gula tiruan. Aspartam adalah masalah utama di sini.

Aspartam (aspartame) adalah gula tiruan yang merupakan bahan kimia merbahaya dan tidak sesuai untuk manusia. Jangan percaya cakap/ tulisan saya, cuba anda semak sendiri di internet apa itu aspartam dan kenapa ia bahaya.

Ia antaranya boleh merosakkan saraf, menyebabkan migrain, diabetes dan rabun hingga buta! (dalam jumlah tertentu)

Saya bukan doktor atau ahli farmasi, jadi maklumat ini perlulah anda semak sendiri.

Selain coca-cola, bahan makanan lain yang menggunakan aspartam ialah gula-gula getah atau chewing gum. Perhatikanlah corak pemakanan anak anda. Kita tidak mahu nanti dia rabun pada usia muda atau lebih teruk lagi otak menjadi tumpul akibat saraf yang rosak. Kita yang tua ni mungkin dah terlebih aspartam, tapi jagalah anak kita.

Khamis, Mac 12, 2015

Prosedur tukar enjin kereta, jangan ambil mudah


Ramai orang muda suka tukar enjin kereta. Dengan modal serendah RM2000++ anda sudah mampu membeli enjin injection 1.5 untuk model Proton.

Apatah lagi kereta Proton yang lama, kalau tak tukar enjin maka memang tak sah lah terutama kalau dia ni kaki kereta.

Tukar enjin.

Satu benda yang nampak mudah. Cari enjin. Sediakan duit. Dan cari pomen kenalan terdekat.

Tapi jangan ambil mudah.

Ini kerana undang-undang Malaysia agak ketat. Mengikut peraturan JPJ, kenderaan anda boleh disita atau dirampas sekiranya anda melakukan modifikasi terhadap kenderaan anda tanpa izin. Walaupun perkara sekecil membuang cermin pandang belakang di motorsikal anda, hingga perkara sebesar menukar enjin, pastilah tahap kesalahan itu lebih serius. Ini kerana di blok enjin kereta itulah terdapat nombor chassis yang bertindak seumpama nombor IC untuk kereta. Tukar enjin maksudnya tukar IC. Kalau IC tak ada maka faham-fahamlah sendiri betapa seriusnya kesalahan anda!

Kerana sebab di ataslah maka yang paling mustahak ialah surat dokumen enjin untuk buat endorsement bila anda mahu tukar enjin kereta. Itu mestilah anda pastikan. Endorsement yang sah dari JPJ bermakna modifikasi anda telah direstui dengan dokumen sah dari pihak JPJ maka mereka tidak lagi berhak untuk merampas kereta anda atas alasan modifikasi tanpa izin.

Modifikasi kereta tanpa izin sah mungkin nampak seperti perkara remeh. Memanglah tak jadi hal kalau tak ada apa. Masa road blok mana ada JPJ atau polis mintak tengok geran kereta? Sebenarnya masalah besar bakal timbul bila kereta berkenaan terlibat kemalangan, terutama sekali kemalangan maut.

Pihak forensik polis akan korek semua. Dan masa nilah masalah atau isu besar akan timbul. Apa yang biasa jadi masalah besar ialah enjin yang tiada dokumen sah. Macam orang tak ada IC yang tertangkap dalam keadaan dia tengah buat hal. Lebih parah lagi enjin yang tak ada IC itu bila disemak didapati berstatus enjin curi. Jadi banyak benda yang sangkut dan banyak benda nak kena hadap.

Risiko besar bakal menanti anda jika anda tiada dokumen untuk membela diri anda. Pengetahuan ini juga penting jika anda membeli kereta second hand. Pastikan nombor enjin dan nombor chassis sama seperti dalam geran bagi mengelak masalah timbul di kemudian hari.

Jadi fikirlah masak-masak. Akibat buruk jika anda sangkut ialah menginap di Sungai Buloh atau Kajang atau mana-mana "hotel" terdekat selama 2 tahun. PDRM adalah sangat tegas dan jika anda cakap tanpa ada dokumen memang habis.

Anwar yang dengan lawyer bagai pun boleh sangkut ini la pulak orang biasa.

Untuk maklumat lanjut anda boleh lah layari laman web JPJ untuk maklumat yang lebih terperinci.

Rabu, Mac 11, 2015

Contoh surat resign (Resign letter)



Ahmad Sadli Ibrahim,
Blok Z-3-4
Kuarters Guru Kajang Utama.
43000 Kajang

12 March 2015

DF Electronic Sdn Bhd,
Jalan Seksyen 1/20, Kajang Utama,
43000 Kajang.

Resign Notice

With a heavy heart,
I would like to tender my resignation from this company with a three days notice.

That’s mean my last day working in this company is 15 March 2015.

The reason for my resignation is a got another offer at another place.

I would like to thank this company and all the staff for giving me chance to contribute in short duration of about one month and a half.

I hope for the best for you all.


Thank you

Yours sincerely


Ahmad Sadli Ibrahim

------------------------


Ini bukan contoh. Ini juga bukan coobaan. Esok aku akan submit surat ni, OK.

Selasa, Mac 10, 2015

Keeway dah OK


Alhamdulillah, Keeway dah OK. Selepas berbulan-bulan tersadai dan tak bergerak sampai semua besi dah jadi besi kuning. Akhirnya kena bawak sampai tempat ni baru OK. Siap tukar karburretor dan macam-macam lagi yang berkaitan. Siap tolong cuci yang tak tahan tu.


Inilah tempat servis centre Keeway. Jalan Ipoh. OK tempat ni. Kalau nak servis kena booking dulu la tapi.

Yang besar gedabak ni pun motor Keeway jugak. Ekzos dua je bro.


Tempat dia ialah berdepan dengan IPD Sentul, KL. Kalau nak servis motor boleh la datang sini. No telefon servis centre Benelli Keeway Jalan Ipoh ialah 03-40423411. Untuk motor jenama Keeway jelah ya. Kalau minat nak beli motor aku boleh PM.

Update 22 September 2017: Pusat sevis di KL ini sudah tutup dan pindah ke Penang.

Penulis ialah seorang dealer syarikat emas Public Gold kod PG00073921

Foto saya
Saya ialah seorang dealer berdaftar Public Gold sejak September 2016. Dalam blog ini saya menulis nota kehidupan peribadi. Selain itu, saya berkongsi kebaikan Public Gold. Public Gold cuma salah satu jenama syarikat menjual emas. Harga setiap syarikat emas adalah sedikit berbeza-beza antara syarikat emas kerana faktor tersendiri. Saya bukanlah penganalisis professional, namun saya memberikan input berkaitan Public Gold secara jujur kerana saya sendiri melabur dengan emas Public Gold. Data dalam blog ini untuk saya meneliti sendiri perkembangan diri saya dalam kehidupan sebagai seorang dealer emas Public Gold dan juga sebagai seorang insan yang cuba membaiki diri. Whatsapp saya 012-9108905 kalau ingin membeli emas Public Gold.
Budaya Public Gold ialah belajar dan terus belajar. Anda boleh follow FB Page Public Gold Internasional untuk mendapat maklumat terkini.