Rabu, September 23, 2015

Salam Aidiladha 1436 Hijriah


Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua umat Islam.

Selamat pulang ke kampung halaman kepada semua yang merantau di kota.

Selamat berhari raya bersama keluarga tercinta.

Kepada yang berkorban, semoga amalan kebaikan anda akan mendapat ganjaran setimpal.

Berhati-hati semasa memandu dan bertimbang rasalah di atas jalan raya.


 

Ahad, September 13, 2015

Ada berani?


Dato Mohd Amar, Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Naib Presiden PAS diberitakan telah menasihatkan Dato Kamaruddin yang telah "bercerai" dengan PAS agar pergi ke mahkamah syariah Kelantan untuk menyemak status perkahwinan beliau.

Ini kerana perjanjian sumpah setia bagi sesiapa yang menjadi calon PAS ialah "kalau bercerai dengan PAS maka automatik kamu bercerai dengan isteri kamu".

Berat atau tidak bukan soalnya tapi itulah isi perjanjian maka bila sesiapa yang berani berjanji maka mestilah berani tunaikan.

Soalnya, adakah sumpah @ nazar sebegini sah pada hukum syarak?

Adakah Dato Amar akan merasa puas jika Dato Kamaruddin benar-benar bercerai dengan Datin Yushaslinda yang berkahwin pada 2011?

Ambo tak berani.







 

Jumaat, September 11, 2015

Politik Tumpat kembali panas


Politik di Tumpat menjadi panas bila ahli parlimen Tumpat, Dato Kamaruddin Jaafar mengumumkan beliau menyertai PKR. Sebelum ini khabar angin menyatakan Dato Kamaruddin akan menyertai parti serpihan PAS yang dipanggil GHB.

Dato Kamaruddin sebelum ini pernah menjadi setiausaha Agong PAS. Pilihan dalaman PAS yang terbaru mengakibatkan PAS pecah kepada 2 kelompok iaitu yang kekal dalam PAS dan yang masuk GHB.    

Apakah ini langkah terbaik buat Dato Kamaruddin? Yang pasti, PKR bukanlah parti yang kuat di Kelantan. Bahkah di Tumpat parti UMNO masih gagah seperti terbukti dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor baru-baru ini, yang merupakan sebuah DUN dalam kawasan Tumpat.

PAS pastinya merasa tidak puas hati kerana parti mereka iaitu PAS telah memberi tempat untuk Dato Kamaruddin bertanding pada tahun 1999 atas tiket PAS walaupun Dato Kamaruddin pada waktu itu baru saja masuk PAS setelah keluar parti UMNO kerana orang kuat dan boss Dato Kamaruddin iaitu Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO secara tiba-tiba.

Tindakan ini bermakna kerusi parlimen PAS di Tumpat kini dipegang oleh PKR.

Permainan politik Tumpat sememangnya sukar ditelah. Namun perkara ini bukanlah terlalu ajaib, ia umpama sejarah kembali berulang. Sejarah PAS yang menggunakan orang ada pengaruh untuk menang kerusi. Sebelum ni PAS dah kena dengan Ibrahim Ali di Pasir Mas.

Nota kaki: Dato Kamaruddin boleh dikira otai dalam politik Tumpat, usia Dato Kamaruddin hampir sebaya dengan abah aku (lahir 1951). Selamat berjuang kepada Dato Kamaruddin.


Khamis, Ogos 20, 2015

Tambah pendapatan dengan berniaga


Cara paling bagus untuk tambah pendapatan ialah dengan berniaga. Semua orang boleh dan mampu untuk berniaga sebenarnya. Kalaupun anda masih bekerja, masih ada jalan untuk berniaga.

Berniaga secara online ialah satu pilihan bijak. Perniagaan secara online lebih mudah diuruskan kerana tidak perlukan kedai secara nyata. Kedai yang sebenar perlu anda datang untuk buka kedai, dan pada penghujung hari anda kena pula tutup kedai. Berniaga secara online anda dah tak perlu buat proses ini.

Berniaga secara online bermakna membuka kedai setiap masa setiap hari 24 jam tanpa henti. Sudahlah begitu, customer pula tidak terhad kepada pelanggan yang duduk berhampiran sekitar anda sahaja. Kalau kena gayanya, anda boleh dapat pelanggan dari hujung dunia sekalipun.

Hari tu saya terbaca ada pemuda cina membuka perniagaan online menjual military tag yang dibuat secara custom. Dia sanggup mengeluarkan modal membeli mesin untk membuat military tag itu sendiri. Itulah ciri seorang usahawan yang ingin berjaya. Dia sanggup keluarkan modal tapi setelah dia membuat kajian secara teliti.

Kalau anda mahu berjaya dalam perniagaan anda mestilah cekal hati, fokus dan sentiasa ligat berfikir mencari jalan untuk berjaya. Kejayaan itu tidak akan datang dengan mudah.

 

Jumaat, Julai 24, 2015

Rancangan selepas Raya


Nampaknya hari raya Aidilfitri 2015 bersamaan Syawal 1436 Hijrah telahpun berlalu. Hari ini jumaat 24 July 2015 bersamaan 8 Syawal 1436.

Mood dan suasana beraya masih ada lagi pada sesetengah orang. Aku pula sibuk berfikir tentang perancangan selepas hari raya.

Perkara yang sering aku fikir  ialah tentang duit. Ya aku berfikir untuk menambah duit. Aku perlu cari duit untuk membeli sesuatu yang berharga. Iaitu rumah.

Semasa balik beraya hari tu ada saudara dekat yang nak jual tanah dan rumah. Harganya dalam 300k. Aku belum mampu buat masa ini untuk sediakan jumlah itu. Aku merasakan harga itu padan dan aku pun sebenarnya berkenan sangat.

Sepuluh tahun lagi adakah harga itu akan berubah semakin naik? Hanya masa mampu menjawabnya.  

Jumaat, Julai 10, 2015

23 Ramadhan


Tinggal kurang seminggu lagi umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri. Ramai yang berkira-kira untuk mula balik kampung.

Balik kampung beraya adalah sesuatu yang mejadi tradisi untuk mereka yang merantau jauh mencari rezeki. Pun begitu keadaan ekonomi yang agak getir boleh menimbulkan rasa gundah juga. Yang paling baik ialah dengan bersederhana sahaja. Yang paling mustahak ialah berjumpa mata dengan orang tua dan saudara.

Aku pun tak boleh lama sangat di kampung sebab hari raya ke 6 Syawal dah kena kerja semula sebab ada student baru masuk daftar di GMi. Aku diberi tugas untuk "guide" budak baru masuk ke asrama.

Raya tahun lepas aku agak teruk diserang asma hingga pucat. Dah 2 malam aku bertahan tak pakai inhaler. Aku ambil ubat stevia dan Alhamdulillah nampaknya agak berkesan merawat asma.

Kepada yang bersiap nak balik, aku ucapkan selamat memandu dan berhati-hati di jalanraya. Tak perlu nak "rushing" sangat rasanya sebab kereta pada musim begini akan penuh atas jalan. Kalau semua orang memandu dengan lapang dada dan bersikap "sporting" rasanya tak banyak masalah akan timbul.

Selamat balik kampung.

 

Khamis, Julai 09, 2015

10 tanda awal kencing manis


Berikut adalah 10 tanda awal penyakit kencing manis. Segera dapatkan rawatan jika anda mengalami tanda-tanda berikut secara ketara.

1. selalu merasa haus dan kerap kencing
2. selalu merasa lapar
3. selalu lemah dan letih
4. berat badan turun dengan ketara
5. selalu merasa kebas
6. pandangan ada kalanya menjadi kabur
7. luka lambat sembuh
8. selalu kena jangkitan kuman seperti ulser mulut, tekak
9. kulit kering dan merekah
10. mood menjadi tidak stabil, mudah marah

Tol lebuhraya utama tidak terima duit tunai


Bermula 9 Septermber 2015 atau 9/9/2015, Tol plaza untuk lebuhraya utama berikut tidak lagi akan menerima duit tunai.

Bermula tengahari 9 September 2015 hanya bayaran secara elektronik akan digunakan.

Plaza tol yang terbabit adalah seperti berikut

Plaza tol Jitra (PLUS)
Plaza tol Bukit Kayu Hitam (PLUS)
Plaza tol Lunas (Butterworth Kulim)
Plaza tol Kubang Semang (Butterworth Kulim)
Plaza tol Jambatan Pulau Pinang
Plaza tol Gombak (KL-Karak)
Plaza tol Bentong (KL-Karak)
Plaza tol Dato Keramat (AKLEH)
Plaza tol Air Panas (DUKE)
Plaza tol Pasar Sentul (DUKE)
Plaza tol Batu (DUKE)
Plaza tol SMART Highway.

Jadi pergi la cepat-cepat cari kad Touch n Go ker, Smart Tag ker atau kad PLUSMiles. So pada tarikh tersebut dan kemudian selepas itu, jangan la pulak bawak duit cash nak bayar tol, mereka tak akan terima duit tunai OK.

Maklumat ini boleh anda sahkan dengan menghubungi sendiri pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia atau Malaysian Highway Authority melalui talian bebas tol mereka di 1-800-88-7752 atau terus ke laman website mereka di LembagaLebuhrayaMalaysia

Pada pendapat saya masih ramai pengguna lebuhraya yang terlibat di atas masih tidak tahu tentang perkara ini. Pihak Lembaga lebuhraya Malaysia masih perlu bekerja keras untuk mewar-warkan hal ini agar keadaan tidak menjadi kecoh bila ia dilaksanakan kelak.

Ahad, Jun 28, 2015

Krisis ekonomi


Adakah anda faham apa yang berlaku dengan Greece di Eropah dan kenapa ia dipanggil krisis?

Greece berada pada tahap lumpuh di mana kerajaan tidak mampu sama sekali membayar hutang walau satu sen. Ini kerana jumlah hutangnya yang terlalu besar. Apa  yang boleh Greece buat ialah
1) pinjam lagi (untuk bayar hutang) atau
2) berhenti berhutang tapi default (tak bayar hutang).

Apa yang boleh dibuat oleh along besar (IMF) ialah memaafkan Greece jika Greece pilih jalan no 2.

Tapi ini adalah mustahil. Along tak boleh buat begitu. Kenapa?

Sebab semua negara eropah lain pun berhutang dengan berat. Kalau Greece dibenarkan tak bayar, maka yang lain pun nak (macam tu) juga.

Apa yang along boleh buat ialah berikan lagi pinjaman kepada Greece walaupun lubang Greece dah sangat dalam dan ikut perkiraan matematik tak akan mampu bayar. Masalah tidak selesai dan Greece akan terus tenggelam.

Krisis ini sangat runcing sebab bukan Greece sahaja yang banyak hutang. Semua negara Eropah berhutang. Greece tumbang yang lain pun bakal tumbang kerana ekonomi Eropah bergabung di bawah ECB (european central bank).

Bapa kapitalis USA sendiri pun berhutang. 18 Trillion.

Bahkan semua negara dalam dunia berhutang. Kebanyakan individu Malaysia, tak kira kaya atau miskin semuanya berhutang. Kalau Greece dimaafkan (default) maka sistem kewangan akan kucar-kacir. Jadi beri hutang lagi supaya Greece boleh bayar hutang. Tapi sampai bilakah penipuan ini?

Itulah dia natijah hutang. Itulah natijah riba.

Kerana hutang kawan jadi lawan. Semasa nak berhutang mulutnya manis. Bila tiba masanya nak bayar hutang maka timbullah perkara seperti kucing sakit, gunung berapi, suami meninggal, mak mertua pengsan, ikan saya lemas, tak ada masa sebab kerja syif, dan seribu satu masalah lain yang tak pernah terfikir dek akal.

Jauhilah hutang. Jauhilah riba.  

Khamis, Jun 25, 2015

Tambah pendapatan secara part time


Mencari pendapatan  tambahan adalah sesuatu yang perlu hari ini dengan keadaan ekonomi yang mencabar dan harga barangan yang melambung tinggi.

Jika anda berhasrat untuk menambah pendapatan secara part time, berniaga adalah salah satu aktiviti terbaik. Berniaga yang saya maksudkan ialah berniaga secara online. Ia lebih mudah dan tidak terlalu memenatkan.

Jika anda seperti saya yang bekerja sepanjang minggu tetapi punya masa lapang sabtu dan ahad, pastinya anda terfikir apa nak buat pada hari sabtu dan ahad ini. Dalam suasana ekonomi yang mencabar hari ini, agak sempit kalau anda bergaji kecil dan tiada sumber lain untuk  menyokong anda.

Saya sendiri terfikir untuk kerja secara part time. Tapi bila fikir balik, kerja hujung minggu pastilah penat dan kalau dapat gaji pun pastinya tak berbaloi. Lagipun, hari sabtu dan ahad sajalah masa untuk bersama keluarga setelah semingu penat bekerja. Kalau keluar lagi pergi kerja jugak, alamatnya anda memang buat isteri anda masam muka. Mereka pun nak berjalan dan melepas penat. Jadi baik saya berniaga secara online.

Saya akui, gaji saya sebagai technician hanya sekadar cukup makan sahaja. Untuk bergaya sikit pun tak mampu, serius. Kalau nak harap gaji saja, agak sukar nak membeli barang seperti hand set atau kamera baru. Nak beli kasut atau baju baru pun fikir berpuluh kali.

So nasib baik ada platform untuk berniaga secara online yang genuine. Maksudnya, berniaga jual barang, bukan jual air liur. Dapat jugalah top up pendapatan saya yang tak seberapa ni.

Jika anda nak berniaga macam saya saya boleh beri panduan. Anda hanya perlu mendaftar secara percuma di laman web berikut

www.bioasli.com

Anda masuklah ke laman web itu dan anda nilailah sendiri. Saya sendiri pun dah lama dengan syarikat ini dan dah buat banyak jualan.

Jom kita berusaha tambah pendapatan kerana bila pendapatan kita bertambah pasti banyak benda yang boleh kita buat dan selesaikan.

Selasa, Jun 23, 2015

Puasa day 6


So, this is me in my technician room, German Malaysian Institute.
Sixth Ramadhan already.

Ahad, Jun 21, 2015

Puasa day 4


Dah masuk hari ke 4 kita puasa. How fast!

Setakat ni buka puasa kat rumah saja. Buka puasa kat rumah ni jimat sikit. Kuih muih pun tak de sangat, cukup dengan kurma. Bukan la kedekut, tapi menghayati makna puasa, iaitu menahan diri.

Dengar cerita orang Amkor dapat bonus. Amkor yang merupakan tempat kerja lama aku pastinya memberi bonus satu bulan lebih. Sektor kerajaan pun bakal dapat bonus.

Tempat kerja baru aku sekarang pulak nampaknya senyap saja. Takpelah, itu kan ketentuan rezeki masing-masing.

Aku masuk GMI pada bulan 4 sempena pelaksanaan GST. Kos hidup selepas GST kini semakin meningkat. Kacang hazel yang seciput pun dah belas ringgit. Tak jadi aku nak beli.

Pagi tadi aku tukar minyak hitam motor cub kena cas Rm18.

Nampak gayanya lepas ni aku kena beli minyak hitam dan tukar sendiri.

Ubah gaya hidup.

Kalau dah teruk sangat mungkin aku terpaksa naik basikal pergi GMI.


Sabtu, Jun 20, 2015

Ramadan day 3


Dah hari ke 3 puasa. Begitulah pantasnya masa.

Sabtu hujung minggu keluar ke IOI putrajaya.

Dari pemerhatianku, harga barang di sini agak mahal. Barang makanan seperti kacang hazel berada pada tahap tak tergamak nak beli.

Begitu ketara sekali sehingga bila anakku nak ambil kacang chipsmore aku melarang dan suruh ambil saja pek kecil.

Menu hari ini, sotong sumbat. Lepas tu layan durian D24. Makan sikit je pun.

Dengan pembelian tanpa perancangan sedikit barang makanan dan beberapa barang keperluan asas seperti sabun, jumlah pembelian sudah hampir rm140.

Aku termenung. Macam mana kalau orang yang gaji sekitar rm1000 nak survive di bandar? Maksud aku ini baru barang keperluan asas?


Jumaat, Jun 19, 2015

Ramadhan Day 2


Hari jumaat aku balik awal dengan Wan cari makan area Sungai Tangkas.

Menu hari ini nasi lemak dendeng abg Nazri. Nasi lemak campur daging. Rm4 sebungkus. Beli 3 bungkus.

Jala Reko hala ke Kajang jem dengan teruk sekali walaupun belum pukul 6.

Geleng kepala aku.

Khamis, Jun 18, 2015

Puasa day 1


Selamat berpuasa semua untuk tahun 2015 atau mengikut tahun Islam ialah 1436.

Hari ni suasana kat tempat kerja aku senyap sunyi. Student semalam dah habis wrap-up mereka punya Final Year Project. Semalam juga mereka celebrate tamatnya segala struggle mereka. Ada yang celebrate dengan agak bahaya seperti memanjat ke anjung yang agak tinggi sekitar tingkat 4.

Hmm..begitulah orang muda.

Secara rasminya esok adalah hari terakhir student untuk semester tahun ini. Kemudian bermulalah cuti semester sehingga pertengahan Julai dimana student-student baru akan masuk.

Student yang sedang belajar pula memang bertuah sebab cuti semester mereka kena dengan timing puasa. Mereka akan sambung pengajian semula kira-kira seminggu selepas raya. Aku sebagai staff pula tak boleh la nak cuti macam mereka.

Sepanjang bulan puasa dengan ketiadaan student ni bolehla aku buat apa-apa yang patut seperti kemaskan lab dan sebagainya. Untuk hari ni hari pertama puasa aku cuma duduk dekat bilik sahaja.

Staff dapat sekotak kurma so aku dah pergi ambik tadi. Semester depan mungkin ada lagi staff baru yang akan masuk sebab tempat letak punch card tadi sedang ditambah oleh Lan.

Tepat pukul 5.15 aku dah bersiap-siap nak balik. Alhamdulillah tahun ni kerja dah office hour so takdelah macam tahun lepas berbuka atas jalan raya atau kat stesen minyak jer, hu hu.

Singgah kat bazar Ramadhan kawasan Sungai Tangkas. Abang Nazri pun berniaga kat area ni. Aku cuba gak cari gerai dia tapi tak kesampaian sebab gerai dia hujung sangat malas lak nak menapak.

Hari ni beli nasi kandar. Mahal der. Rm8 sebungkus. Kakak yang berniaga tu cakap sebab nasi dan lauk banyak. Tapi memang banyak gila aku tengok. Beli 2 bungkus jadi rm16. So itu jelah juadah aku buka puasa petang ni, InsyaAllah. Tak ade kuih bagai semua. Mujurla ada jugak buah kurma maryami kat rumah.  

Oklah puasa rajin-rajin ya semua.




Rabu, Jun 17, 2015

satu soalan


Tak mau cakap pasal 1MDB.
Tak mau cerita pasal MAS.
Tak mau ungkit Perwaja.

Mau cerita pasal syarikat lain yang juga berkait kerajaan seperti.

Syarikat Prasarana Negara.
MIMOS
KTM
Amanah Raya
Jambatan Kedua
Indah Water Konsortium.
Cyberview
Jaring (dah tutup kedai)

Kesemua mereka beroperasi dalam kerugian yang banyak hingga jutaan wang hangus.

Soalan: Adakah boss mereka ada belajar matematik dan tahu kira?

Come on.




Ahad, Jun 14, 2015

Contoh ayat power yang membuat anda cair


Contoh ayat power.

Syarikat x

"Diorg dah bermula...dah isi borang...dah ready nak dapat duit hari-hari dgn sistem kami.!!! 
Tahniah ...Minimum rm105-rm1000 SEHARI!!!
Anda bila lagi? Jangan tunggu lagi. Bertindak segera. 
012-9108905"
p/s-cara dapat duit tidak diberitahu tapi kena jumpa dikedai mamak untuk dapat penerangan. 






Contoh ayat tak power

Syarikat y

Syarikat kami menjual minyak kelapa dara. Sertai kami dan mula menjual segera dengan keuntungan bersih rm20 untuk setiap produk yang anda jual. Ini laman website syarikat kami. 







Yang manakah anda fikir lebih ramai orang akan minat nak join?

Rasanya mungkin yang pertama sebab pulangan adalah lebih lumayan kan. 
Tapi yang mana ada ciri-ciri nak berniaga lama.
Yang mana ada ciri-ciri nak menipu?
Syarikat mana jual barang? 
Syarikat mana jual harapan?
Saya sendiri tak ada jawapan tepat tetapi kalau yang pertama tu betul macam tu hmm mungkin syarikat Permodalan besar seperti PNB dengan produk seperti ASB pun terpaksa gulung tikar sebab tak boleh lawan pulangan hasil yang dijanjikan oleh syarikat x. 

Jumaat, Jun 12, 2015

Tun yang saya kenali


Tun Mahathir adalah tokoh besar negara kita. Semasa zaman Tun memerintah saya sangat bangga menjadi rakyat Malaysia. Siaran langsung di televisyen persidangan Agong Umno adalah sesuatu yang sangat mengujakan saya.

Tun adalah pemimpin yang tersendiri dan punya keberanian melakukan hal-hal yang perlukan "courage" atau kekuatan dalaman yang tinggi untuk dilaksanakan.

Saya akui, semasa Tun memecat Anwar saya merasa kecewa dan marah dengan Tun.

Tapi bak kata mereka, "time heal all wounds". Perasaan itu boleh dikatakan tiada lagi.

Semasa Tun datang ke tempat kerja saya di GMI baru-baru ini saya adalah antara staff yang teruja nak berjumpa dan bersalam dengan Tun.

Tun sudah bersara dan umurnya pun begitu lanjut. Tiada apa lagi yang hendak dikejar oleh Tun. Tiada apa lagi yang belum dibuktikan oleh Tun. Tun boleh saja hidup selesa "without a care" for anything that should happen.

Tapi hari ini Tun masih berjuang. Tun masih bersuara demi kepentingan negara. Bukan sedikit orang yang membenci Tun. Arena politik adalah gelanggang yang sadis dan kejam. Saya yang tak ada pangkat ni di panggil anjing hanya kerana saya menyokong Tun dengan ikhlas.

Hari ini saya dah tak minat dengan perhimpunan Agong Umno. In fact, saya tak pernah memberi undi pada mana-mana parti.

Akhir-akhir ini bila Tun lantang mengkritik kerajaan banyak media yang cuba mendedahkan kembali kononnya Tun semasa jadi PM dahulu buat macam-macam hal yang tak betul. Adakah mereka cuba buat lawak? Maksudnya Tun dahulu buat begitu dan begini, maka hari ini pun nak buat juga begitu dan begini?

Come on.


Isnin, Jun 08, 2015

1 billion


1 billion ialah satu ribu kali sejuta atau seribu juta.

Artis rap Nicki Minaj bila ditanya bila dia akan dapat mengumpul 1 billion, dia mensasarkan tahun 2025 yakni sepuluh tahun dari sekarang.

Pendapatan Nicki tahun lepas hanyalah 14 juta.

Nicki telah melancarkan 3 album.

Nicki menjual 3 jenama minyak wangi.

Nicki juga berlakon filem Barbershop 3.

Majalah Vogue mengiktiraf Nicki sebagai artis rap wanita terbaik sepanjang zaman (most visible female rappers of all time).

Nicki menyatakan dengan hanya menjual album belum mampu menjadi billionaire. Apa yang perlu untuk menjadi billionaire (seribu juta) ialah dengan bisness, pelaburan, membuka syarikat, majukannya dan menjual syarikat itu kepada pelabur.

Begitulah susahnya Nicki Minaj berusaha untuk mengumpul 1 billion.

Usia Nicki Minaj ialah 32 tahun.

Kita ada ????

Kita ada 1MDB.

Rabu, Mei 27, 2015

Zaman paranoid


Kita hidup di zaman yang pelik. Zaman tahun 2015. Kalau anda menonton Filem "back to the future" tahun 2015 adalah tahun future yang paling jauh kedepan mereka pergi. Tapi kita sekarang sampai ke tahun yang kononnya paling jauh itu hingga terpaksa naik mesin masa untuk sampai. Tapi kita dah sampai juga akhirnya tanpa mesin masa.

2015, apa yang istimewa dengan 2015. Kalau 15 tahun lepas masa nak masuk ke tahun 2000 kecoh dengan Y2K, kononnya sistem komputer akan "collapse" kerana tak boleh baca tahun 00.

15 tahun berlalu jua. Apa yang terjadi? Banyak benda. Banyak hal. Banyak cerita.

Tahun 00 aku mula bekerja dengan Toshiba dan aku berhenti pada tahun 2015.

Tahun 00 harga rumah masih dalam kemampuan tapi tahun 2015 harga rumah (area KL) sudah tak masuk akal. Adakah harga rumah akan naik lagi pada masa depan? Mungkin  ya. Naik sehingga sejuta atau berapa? Masa tu mungkin kita dah tak boleh gelak macam kita gelak dekat duit rupiah yang selalunya main juta saja. Setiap kali harga barang naik setiap itulah nilai duit jatuh.

Tahun 00 syarikat penerbangan MAS adalah syarikat GLC besar yang gah. Siapa kerja MAS pastinya bangga bila orang kampung tanya "kau kerja apa?" Tahun 2015 MAS rugi teruk dan terpaksa buang ramai pekerja.

Tahun 00 tak ada GST. Tahun 2015 GST datang dengan seribu keluhan.

Tahun 00 wawasan 2020 begitu gah. Tahun 2015 tinggal 5 tahun sebelum 2020 Malaysia terkial-kial nak bayar hutang. Pengambilan kakitangan kerajaan dibeku. Dana negara terpaksa cover pelbagai syarikat yang rugi. Bila syarikat rugi mereka buang orang bawah. Kenapa? Orang atas bijak sangat kot. Orang bawah pandai-pandai la nak hidup. MAS siap ambil mat salleh lagi jadi boss.

Banyak benda boleh berlaku dalam 15 tahun.

Bagi aku 2015 adalah zaman paranoid. Technician nak beli IC semua direkod, takut buat bom katanya. Kesian senior tech aku, pening kepala fikir bila nama kena submit Interpol untuk rekod. Beli IC untuk student belajar jer pun.

2015.
Itulah dia zaman paranoid.    
Masih belum ada mesin masa pada tahun ini.






Jumaat, Mei 15, 2015

Broadband prepaid termurah di Malaysia



Adakah anda mencari internet broadband prepaid termurah? Di Malaysia kita ada banyak pilihan.  

Apakah syarikat yang memberikan data yang paling banyak dengan nilai wang anda? 



Dibawah ini saya quote dan unquote apa yang saya tulis lebih 2 tahun lepas iaitu pada 21 Februari 2013.

"Untuk pakej RM68 maxis anda diberi data sebanyak 3 Gigabyte.
Untuk pakej RM68 celcom anda diberi data sebanyak 4 Gigabyte.
Untuk pakej RM68 YES anda diberi data sebanyak 5 gigabyte.
Untuk pakej RM68 u-mobile anda dapat data sebanyak 6 Gigabyte.
Untuk isian RM50 Digi anda dapat data 300 mb sehari selama 50 hari.
TM streamyx Wifi - Serendah RM 110 sebulan data tanpa had pada kelajuan 1 Megabit per second
Wifi Kedai mamak- Free"

Fast forward ke hari ini, 15 May 2015, Maxis nampaknya ada membuat sedikit tawaran menarik melalui monster bytes promo
dimana ia mula menjual 1 Gigabyte pada harga RM 5. (untuk sehari) 
Jadi harga ini agak menarik kerana jika kita tengok harga prepaid biasa di senarai atas, 3 Gigabyte pun Maxis jual Rm68 iaitu sekitar RM22 lebih untuk 1 gigabyte.  

Jadi RM 5 untuk 1 Gigabyte (Maxis) tu kira tersangat murah, secara perbandingan. 

RM 5 kalau u mobile baru dapat 500 Megabyte, 
(500 Megabyte+500 Megabyte=1 Gigabyte)

so kiranya Maxis lebih memberikan data pada nilai RM5.
Melalui moster bytes promo juga Maxis menjual 2 Gigabytes data pada harga RM7, dimana ini bersamaan dengan RM3.50 untuk 1 Gigabyte data.

Pada pandangan saya 1 Giga dengan RM3.50 adalah broadband paling murah  di Malaysia setakat hari ini setakat yang saya tahu.
Tambah pula lagi signal Maxis memang power. So ini bukan nak up Maxis, sekadar berkongsi fakta sahaja ok. 

Kalau anda tahu broadband internet yang lebih murah sila berkongsi kerana kita semua pun mahu tahu juga.

Monster bytes dari Maxis ini adalah promosi terhad dari Maxis, jadi baik anda ambil peluang ini selagi promosi ini masih berjalan.

Buat masa ni saya kecewa dengan u mobile. Saya tak tahu apa masalah u mobile. Signal u mobile di kawasan saya (kajang) pun kini dah merosot dan tak laju macam dulu.  

Nota: Kadar harga broadband (prepaid) di atas tertakluk pada perubahan mengikut budi bicara setiap syarikat dan bakal berubah dari semasa ke semasa. 

Khamis, Mei 14, 2015

Apa boleh buat?


Apa yang anda dan saya boleh buat?

Dunia semakin tua.

Tapi manusia masih leka mengejar dunia. Manusia perlu mencari duit sehingga terlupa yang dunia semakin tenat. Sungai tercemar. Sampah sarap mengalir ke laut yang indah. Siapa peduli? Manusia sibuk mencari jalan pintas agar tidak jem. Manusia sibuk membeli dan beratur di shopping kompleks agar semuanya nampak baru dan segak. Plastik sampah buat apa ikat, yang kutip tu kan memang orang tak berpelajaran? Biar dia rasa. Patut ke begitu?

Nilai duit semakin susut sebab harga barang saban tahun asyik naik. Orang yang susah semakin susah, kena berhutang. Ingatkan  orang susah je berhutang, kerajaan pun berhutang? Mana ada masa nak fikir. Kerajaan punya hal. Buat apa nak sibuk. Patut ke begitu?

Semua orang sibuk kumpul harta. Yang ada pangkat pula akan berusaha mati-mati pertahankan pangkat dan cuba pula dapatkan pangkat yang lebih tinggi. Harta saja tak cukup, mesti ada sekali sosial status. Status facebook la tu?

Agaknya bila pokok yang paling penghabisan ditebang dan ikan yang paling akhir ditangkap barulah manusia akan sedar bahawasanya duit adalah kertas dan kertas tak boleh dimakan.

Itulah permainan duniawi.  

Isnin, Mei 11, 2015

Penawar lelah (asma)


Lelah atau asma adalah satu simptom yang berlaku bila salur nafas yang normal mula mengecil akibat rangsangan tertentu seperti habuk, debu dan sebagainya. Akibatnya nafas menjadi sesak dan oksigen sukar untuk sampai ke tempat sepatutnya.

Kanak-kanak atau dewasa bisa saja mendapat penyakit atau gejala asma. Asma juga biasanya datang bersama selsema dan hidung berair.

Saya sendiri pernah mendapat serangan asma yang teruk sehingga hampir pengsan. Serangan asma biasanya berlaku pada waktu dingin dinihari sehingga waktu subuh. Pada tahap yang lebih teruk, serangan asma tidak lagi mengira masa.

Semasa remaja kesihatan saya agak stabil. Tapi lewat umur 35 saya mula diserang asma. Ini agak pelik kerana saya bukan perokok dan saya juga makan secara sihat.

Saya berusaha berubat. Kebanyakan orang pastinya tahu yang ubat klinik atau hospital bagi asma ialah "inhaler" iaitu ubat standard bagi orang asma. Saya tak mahu "inhaler" sebab ia bukan ubat semulajadi. Semua tahu yang inhaler adalah ubat jenis dadah.

Saya mencuba macam-macam ubat tradisional untuk asma.

Madu, delima, habbatus sauda, kordiseps, pil dari CNI, Amway, Cosway dan bermacam way lagi. Ada juga saya cuba ubatan kampung dan ubatan pelbagai produk kesihatan di ekspo dan butik.

Paling mahal saya pernah cuba ubat herba cina bernilai lebih rm500.

Ubat di atas ada yang OK juga, tapi asma saya tetap ada sesekali dia datang juga. Dengan kata lain, tidak sembuh sepenuhnya.

Sehinggalah bila saya jumpa stevia. Stevia dari pokok stevia. Itulah penawar asma untuk saya.
Ini adalah perkongsian ikhlas dari saya dan saya bukan penjual stevia.

Ahad, Mei 10, 2015

Sungai Melaka mengalir lesu

Hujung minggu 1 Mei 2015 yang panjang, susahnya nak berjalan sebab ramai orang bercuti dan hotel kebanyakannya penuh. Nak pergi Tioman pun tak dapat sebab pilihanraya Rompin menyebabkan Mersing menjadi sesak dengan orang luar. Hotel untuk family boleh dikatakan semuanya "fully booked." So Melaka jelah destinasi yang agak dekat untuk pergi bersiar mengisi masa cuti.

Beginilah suasana di pinggir sungai Melaka yang mengalir lesu di pagi hari.






Cantik lagi sungai Melaka ni, jadi sama-samalah kita berusaha menjaganya. Melaka yang satu ketika dahulu adalah pusat empayar Kesultanan Melayu yang gemilang kini hanyalah negeri yang penuh dengan pelbagai muzium untuk dikenang.

Pusat pentadbiran Malaysia kini adalah di Putrajaya. Adakah Putrajaya juga akan senasib dengan Melaka? Hanya masa mampu menjawabnya.

Sabtu, Mei 02, 2015

Adakah anda marah dengan GST?


Sudah beberapa hari bulan April berlalu. Bulan April yang datang bersama GST. Kesan GST terkena kepada semua lapisan masyarakat. Tapi bagi orang yang kaya mungkin tak terasa sangat. Apalah sangat 60 sen setiap kali beli topup Rm10, apa barang pakai topup.

GST ialah sistem cukai baru kerajaan. Perlukah anda rasa marah?
Hakikatnya kerajaan Malaysia berhutang dan hutang mesti dibayar. Cara bayar? Kena cari duit melalui cukai. There's no other way.

Kalau tak mahu bayar sekarang boleh. Tangguh dulu. Akibatnya? Hutang semakin bertambah akibat bunga riba. Yang kena bayar? Generasi akan datang, iaitu anak cucu kita yang bakal lahir atau yang belum lahir. Lahir sahaja, menangis, hutang kerajaan Malaysia sudah siap tunggu.

Saya tak marah dengan GST. Sekurang-kurangnya mereka berusaha bayar hutang.

Saya cuma marah Menteri yang cuba pusing cerita. Saya marah peniaga yang ambil kesempatan. Saya sedih dengan pembaziran hasil negara. Hutang bukan cara selesai masalah. Yang lebih pelik ialah berhutang untuk bayar hutang.

Malaysian, you are better than this!


Jumaat, April 17, 2015

Tugas technician


Technician atau juruteknik.

Aku bertugas sebagai juruteknik kilang Toshiba bermula tahun 2000 sehingga 2015.

Ingatkan lepas 15 tahun nak kerja lain pulak, tapi dapat offer kerja technician jugak. Itulah jawatanku di German Malaysian Institute sejak 2015 pula.

Tapi apa tugas technician?

Technician atau juruteknik tugas mereka ialah membaiki kerosakan. Kalau juruteknik kereta maka kereta rosak ialah kerja mereka. Kalau juruteknik elektrik maka kena baiki perihal bab elektrik yang bermasalah. Apa yang rosak juruteknik kena betulkan semula sampai ok. Susah kan kerja juruteknik?

Dahulu technician kilang tugasku repair mesin kilang yang bermasalah.

Di GMI ada mesin ke? Ada tapi bukanlah banyak macam kat kilang.

Aku sendiri tak tahu apa tugas technician GMI semasa aku minta dulu. Technician bangunan mungkin? Aku tak tahu pasal elektrikal atau wiring.

Ada banyak department di GMI. Aku tercampak ke Department electronic industry (industrial electronic).

Rupanya tugasku ialah menjaga lab budak-budak basic electronic. Elektronik komponen yang terbakar aku kena ganti. Air cond tak sejuk mereka beritahu. Projektor tak nyala mereka panggil. Kerusi patah technician kena buat. Alatan lab tak cukup mereka tanya technician. Barang sampai technician pergi angkat. Langsir lab technician jahit. Langsir bilik pensyarah? come on laa..........

Technician GMI taklah kerja keras sangat macam kilang. Tapi ia punya cabaran tersendiri. Apapun jawatan anda, silalah bekerja dengan ikhlas.

Kalau kerja technician makan gaji, memang susah nak jadi kaya tahap jutawan. Kalau sekadar nak bergaya sikit sikit tu boleh lah. 

Tak nafi lah technician ni biasanya smart kan. 

Ada satu alatan wajib ada kalau jadi technician kilang. Alat itu ialah allen key. Semasa aku jadi technician Toshiba dahulu kami memang dibekalkan dengan allen key yang paling berkualiti iaitu allen key Swiss. Kebanyakan kedai hard ware tidak ada jual allen key jenis ni sebab ia sangat mahal dan berkualiti tinggi, Kini ia sudah boleh di beli secara online. 


Jumaat, April 10, 2015

Tips untuk berjaya dalam interview


Semasa saya ditemuduga untuk jawatan technician GMI (German Malaysia Institute) baru-baru ini, ada seramai 12 orang calon yang bersaing untuk mendapat jawatan itu. Ada 11 lelaki dan seorang perempuan. Ada yang muda dan ada juga yang sedikit berusia seperti saya (37 tahun). Yang muda-muda ni saya kira lebih ramai.

Ada 2 pemuda berpakaian kemas siap dengan neck tie. Saya berkemeja lengan panjang, kemas tapi saya tak pakai neck tie. Pada fikiran saya jawatan technician cuma level bawahan yang tak berapa eksklusif (executive level), jadi tak perlu tie tapi perlu juga nampak segak. Apapun saya rasa rugi tak pakai neck tie.

Ada beberapa orang yang nampak terlampau "simple" seolah-olah tidak begitu bersungguh untuk interview (seperti melepas batuk di tangga). Mereka berkemeja tapi kasutnya agak kurang formal, sedangkan GMI adalah intitusi pendidikan yang agak formal.

Ada 4 orang panel penemuduga. GMI nampaknya serius dengan proses temuduga ini. Mereka yang menemuduga pula adalah berjawatan penting seperti Head of Section dan bahkan CEO mereka pun ada! Ada 2 lelaki dan 2 perempuan. Saya agak terkejut kerana yang lelaki penemudaga itu sendiri tidak memakai neck tie! Tapi jangan pandang enteng, pangkat mereka di GMI adalah penting (CEO tu).

Selepas  memberi salam, saya meminta izin untuk duduk. Mereka memperkenalkan diri dan salah seorang terus bertanya dalam bahasa Inggeris. "Tell us about yourself...." Saya pun terus la goreng bercakap bahasa Inggeris setakat yang saya tahu la sebab saya ni bukanlah pandai speaking.

Tergagap-gagap jugalah nak bercakap sampai satu tahap saya "blur" dan dah tak tahu nak cakap apa dah. Nampaknya bila dah mesra sikit mereka tidak terlampau "rigid". Salah seorang dari mereka menyuruh saya agar bercakap bahasa Melayu. Selepas itu perbualan kami menjadi lancar dan mesra.

Ada yang membelek-belek sijil saya. Tanya pasal diploma saya. Tapi yang saya rasa "power" bukan diploma itu, tapi sijil maintenance UPS (uninterruptible power supply) itu yang mahal. Yang kedua mahal ialah pengalaman kerja hampir 15 tahun dengan Toshiba.

Mereka tanya kenapa berhenti dari Toshiba? Saya selamba je jawab saya dah penat kerja kilang, siang malam tak kira hari raya tak kira sabtu ahad, semua hari kena kerja tanpa ada life.

Ada juga yang tanya soalan psikologi. "What is your friend perception about you?" Saya jawab saya ni dianggap pendiam, tapi saya ni bukan pendiam tapi orang suka beranggapan begitu.

Mereka bertanya lagi, "beraninya awak berhenti macam tu saja? Awak ada anak dan isteri?" Saya cakap saya sangat takut, tapi saya yakin akan ada job jika kita berusaha. Saya cakap bahkan ada beberapa kilang besar kawasan Bangi panggil saya datang interview. Kilang Denso ada panggil interview jawatan Technical Assistant. "Kalau dapat Denso macam mana?" tanya cik Yana. Saya jawab "kalau GMI panggil saya tak pandang dah yang lain," mereka ketawa.

Mereka tanya ada kenal sesiapa kat dalam GMI? Saya jawab ya, saya kenal Mazlan, geng main ping-pong. Mereka nampak "impressed".

Selepas habis sesi temuduga saya cakap "untill we meet again", mereka ketawa lagi. Selepas memberi salam saya pun pulang.

Temuduga itu berlangsung pada 16 Februari. Pada 5 March salah seorang wakil GMI menelefon saya memberitahu yang saya berjaya.

Ada 2 orang saja yang mereka ambil. Saya dan Syazwan. Wan dan saya kini dah jadi member. Wan muda lagi, tapi dia punya pengalaman maintenance dan repair kapal terbang sebab dulu dia kerja technician MAS.

Wan hari tu pakai segak (tanpa tie). Rupanya Wan lagi dahsyat dia speking penuh sebab Wan masa kerja MAS dah biasa kerja dengan mat salleh dan tak ada masalah speaking bahasa Inggeris.

Tips saya untuk berjaya interview ialah "your English must be superb, have great attitude, be humble, be honest, and above all, be yourself"

Temuduga hari ini penuh persaingan. Bayangkan 12 orang dan hanya 2 orang yang mereka pilih. Hari ini yang ada degree sekalipun terpaksa struggle, jadi jika anda pergi interview, jangan ambil mudah. Selidik dahulu syarikat itu sedikit sebanyak. Kalau ada "cable" sekalipun, anda kena "perform" juga. Syukurlah, saya berjaya masuk tanpa guna "cable".

Sabtu, April 04, 2015

Presiden dan CEO Petronas yang baru


Dato Wan Zulkifli Wan Ariffin secara rasminya telah memulakan tugasnya sebagai Presiden dan CEO Petronas yang baru bermula 1 April 2015.

Secara kebetulan tarikh itu juga sama dengan Ahmad Sadli Ibrahim yang memulakan tugasnya sebagai juruteknik di GMI.

Semoga mereka dapat memberikan sumbangan yang bermakna untuk organisasi masing-masing. Walaupun pangkat mereka berbeza, tapi kesungguhan kerja itu yang akan menjadi ukuran.




Selasa, Mac 31, 2015

Tugas di tempat baru


Esok aku bakal memulakan tugas di tempat baru. Aku akan bekerja sebagai juruteknik kelas 3 di GMI, German Malaysia Institute.

Tugas aku secara umumnya ialah memastikan mesin-mesin untuk kursus Industri Elektronik berada dalam keadaan terbaik.

Aku akan pegang kunci bilik mesin dan student akan jumpa aku untuk guna mesin.

Kerjanya isnin hingga jumaat. Sabtu ahad tiada kelas.

Tekanan kerja tetap ada tapi tak seteruk macam aku kerja kilang dulu, rasanya.

Apapun aku sebagai pekerja baru perlu cepat belajar dan berusaha.

Cayok.

Ahad, Mac 29, 2015

Takutnya


Orang biasa macam aku sangat  takut dengan GST. Maklumlah, gaji pun tak besar dan anak-anak masih panjang lagi tahun bersekolah.

Kalau jutawan mungkin dia tak takut la sebab duit dia banyak. Dia boleh membeli dengan rileks jer tak kira lah 1 April atau bila-bila.

Dekat pasar raya orang ramai memborong barang hari ini. Nampak macam panik. Mereka agaknya cuba beli sebanyak mungkin sebelum GST dilaksanakan bermula 1 April 2015.

Ekonomi dalam keadaan tidak menentu. Harap pemimpin negara kita peka dengan masalah rakyat seperti aku. Bukan nak mintak gaji lebih, cuma mahu harga barang tidak melampau.

Pemimpin patut tegas atasi rasuah dan pembaziran. Kebijaksanaan mengurus dana negara patut menjadi kriteria dalam memilih pemimpin. Alangkah baiknya jika pemimpin bijak dan luhur dalam mentadbir negara.

Begitulah harapanku.

Jumaat, Mac 27, 2015

Berat badan 42 kg


Tadi pagi buat medical check up dekat klinik An Nur di Bangi. Klinik swasta so cepat je dia buat.

Buat x-ray, ambil darah dan test air kencing.
Tinggi 165 cm, berat 42 kg.
Ujian buta warna- OK
Ujian dadah- Negatif
Kesihatan - Umumnya OK cuma ada allergik dan asma.
Mata- Suspek rabun jauh.

Keputusan: Lulus

Jadi aku dah boleh lapor diri dekat tempat kerja baru bermula 1 April 2015.

Khamis, Mac 26, 2015

Kenapa coca-cola "zero" merbahaya


Gadis remaja yang mahu berdiet tapi pada masa yang sama mahu minum coca-cola biasanya akan mengambil coca-cola versi diet seperti coca-cola light atau coca-cola zero.

Mereka mungkin merasa bijak kerana menyangka coca-cola zero ini tiada gula jadi tiada masalah besar. Mereka sebenarnya silap! Versi tanpa gula adalah lebih merbahaya.

Cuba fikirkan, kenapa coca-cola zero tetap berasa manis dan sedap walaupun tiada gula langsung?

Ini kerana coca-cola zero menggunakan aspartam sebagai pemanis tiruan menggantikan gula. Silalah baca label.

Aspartam adalah bahan kimia yang bertindak sebagai gula tiruan. Aspartam adalah masalah utama di sini.

Aspartam (aspartame) adalah gula tiruan yang merupakan bahan kimia merbahaya dan tidak sesuai untuk manusia. Jangan percaya cakap/ tulisan saya, cuba anda semak sendiri di internet apa itu aspartam dan kenapa ia bahaya.

Ia antaranya boleh merosakkan saraf, menyebabkan migrain, diabetes dan rabun hingga buta! (dalam jumlah tertentu)

Saya bukan doktor atau ahli farmasi, jadi maklumat ini perlulah anda semak sendiri.

Selain coca-cola, bahan makanan lain yang menggunakan aspartam ialah gula-gula getah atau chewing gum. Perhatikanlah corak pemakanan anak anda. Kita tidak mahu nanti dia rabun pada usia muda atau lebih teruk lagi otak menjadi tumpul akibat saraf yang rosak. Kita yang tua ni mungkin dah terlebih aspartam, tapi jagalah anak kita.

Khamis, Mac 12, 2015

Prosedur tukar enjin kereta, jangan ambil mudah


Ramai orang muda suka tukar enjin kereta. Dengan modal serendah RM2000++ anda sudah mampu membeli enjin injection 1.5 untuk model Proton.

Apatah lagi kereta Proton yang lama, kalau tak tukar enjin maka memang tak sah lah terutama kalau dia ni kaki kereta.

Tukar enjin.

Satu benda yang nampak mudah. Cari enjin. Sediakan duit. Dan cari pomen kenalan terdekat.

Tapi jangan ambil mudah.

Ini kerana undang-undang Malaysia agak ketat. Mengikut peraturan JPJ, kenderaan anda boleh disita atau dirampas sekiranya anda melakukan modifikasi terhadap kenderaan anda tanpa izin. Walaupun perkara sekecil membuang cermin pandang belakang di motorsikal anda, hingga perkara sebesar menukar enjin, pastilah tahap kesalahan itu lebih serius. Ini kerana di blok enjin kereta itulah terdapat nombor chassis yang bertindak seumpama nombor IC untuk kereta. Tukar enjin maksudnya tukar IC. Kalau IC tak ada maka faham-fahamlah sendiri betapa seriusnya kesalahan anda!

Kerana sebab di ataslah maka yang paling mustahak ialah surat dokumen enjin untuk buat endorsement bila anda mahu tukar enjin kereta. Itu mestilah anda pastikan. Endorsement yang sah dari JPJ bermakna modifikasi anda telah direstui dengan dokumen sah dari pihak JPJ maka mereka tidak lagi berhak untuk merampas kereta anda atas alasan modifikasi tanpa izin.

Modifikasi kereta tanpa izin sah mungkin nampak seperti perkara remeh. Memanglah tak jadi hal kalau tak ada apa. Masa road blok mana ada JPJ atau polis mintak tengok geran kereta? Sebenarnya masalah besar bakal timbul bila kereta berkenaan terlibat kemalangan, terutama sekali kemalangan maut.

Pihak forensik polis akan korek semua. Dan masa nilah masalah atau isu besar akan timbul. Apa yang biasa jadi masalah besar ialah enjin yang tiada dokumen sah. Macam orang tak ada IC yang tertangkap dalam keadaan dia tengah buat hal. Lebih parah lagi enjin yang tak ada IC itu bila disemak didapati berstatus enjin curi. Jadi banyak benda yang sangkut dan banyak benda nak kena hadap.

Risiko besar bakal menanti anda jika anda tiada dokumen untuk membela diri anda. Pengetahuan ini juga penting jika anda membeli kereta second hand. Pastikan nombor enjin dan nombor chassis sama seperti dalam geran bagi mengelak masalah timbul di kemudian hari.

Jadi fikirlah masak-masak. Akibat buruk jika anda sangkut ialah menginap di Sungai Buloh atau Kajang atau mana-mana "hotel" terdekat selama 2 tahun. PDRM adalah sangat tegas dan jika anda cakap tanpa ada dokumen memang habis.

Anwar yang dengan lawyer bagai pun boleh sangkut ini la pulak orang biasa.

Untuk maklumat lanjut anda boleh lah layari laman web JPJ untuk maklumat yang lebih terperinci.

Rabu, Mac 11, 2015

Contoh surat resign (Resign letter)



Ahmad Sadli Ibrahim,
Blok Z-3-4
Kuarters Guru Kajang Utama.
43000 Kajang

12 March 2015

DF Electronic Sdn Bhd,
Jalan Seksyen 1/20, Kajang Utama,
43000 Kajang.

Resign Notice

With a heavy heart,
I would like to tender my resignation from this company with a three days notice.

That’s mean my last day working in this company is 15 March 2015.

The reason for my resignation is a got another offer at another place.

I would like to thank this company and all the staff for giving me chance to contribute in short duration of about one month and a half.

I hope for the best for you all.


Thank you

Yours sincerely


Ahmad Sadli Ibrahim

------------------------


Ini bukan contoh. Ini juga bukan coobaan. Esok aku akan submit surat ni, OK.

Selasa, Mac 10, 2015

Keeway dah OK


Alhamdulillah, Keeway dah OK. Selepas berbulan-bulan tersadai dan tak bergerak sampai semua besi dah jadi besi kuning. Akhirnya kena bawak sampai tempat ni baru OK. Siap tukar karburretor dan macam-macam lagi yang berkaitan. Siap tolong cuci yang tak tahan tu.


Inilah tempat servis centre Keeway. Jalan Ipoh. OK tempat ni. Kalau nak servis kena booking dulu la tapi.

Yang besar gedabak ni pun motor Keeway jugak. Ekzos dua je bro.


Tempat dia ialah berdepan dengan IPD Sentul, KL. Kalau nak servis motor boleh la datang sini. No telefon servis centre Benelli Keeway Jalan Ipoh ialah 03-40423411. Untuk motor jenama Keeway jelah ya. Kalau minat nak beli motor aku boleh PM.

Update 22 September 2017: Pusat sevis di KL ini sudah tutup dan pindah ke Penang.

Khamis, Februari 26, 2015

Firas di Melaka


Cepat betul Firas besar rasanya. Firas dah  pandai bergaya. Tengok la aksi dia masa pergi Melaka itu hari.

Apa yang menarik dengan Melaka ialah banyak tempat yang perlu dilawati adalah dalam lingkungan 1 km sahaja. Jadi anda boleh la berjalan kaki atau naik beca berhias. Tapi harus diingat tambang beca itu bukan murah. Firas sangat teruja nak naik beca. Nampak je beca terus dia cakap, "naik,naik" Terpaksa la pujuk. Tambang beca Melaka adalah standard sebab pengayuh adalah dilesenkan oleh kerajaan negeri Melaka. Nak tahu kadar tambang beca Melaka? Kadarnya ialah RM 40 untuk setiap jam.
Ha, mahal jugak tu kalau untuk orang biasa macam aku. 

Selasa, Februari 24, 2015

Melaka river cruise

Menyusuri sungai Melaka di waktu malam.
Banyak jambatan yang ditempuhi.
Aku sebenarnya takut jugak, maklumlah sungai tu nampak dalam.
Tiada jaket keselamatan disediakan.
Mujur la Firas duduk diam je.
 Hard rock Cafe di tepi sungai Melaka.





Penulis ialah seorang dealer syarikat emas Public Gold kod PG00073921

Foto saya
Saya ialah seorang dealer berdaftar Public Gold sejak September 2016. Dalam blog ini saya menulis nota kehidupan peribadi. Selain itu, saya berkongsi kebaikan Public Gold. Public Gold cuma salah satu jenama syarikat menjual emas. Harga setiap syarikat emas adalah sedikit berbeza-beza antara syarikat emas kerana faktor tersendiri. Saya bukanlah penganalisis professional, namun saya memberikan input berkaitan Public Gold secara jujur kerana saya sendiri melabur dengan emas Public Gold. Data dalam blog ini untuk saya meneliti sendiri perkembangan diri saya dalam kehidupan sebagai seorang dealer emas Public Gold dan juga sebagai seorang insan yang cuba membaiki diri. Whatsapp saya 012-9108905 kalau ingin membeli emas Public Gold.
Budaya Public Gold ialah belajar dan terus belajar. Anda boleh follow FB Page Public Gold Internasional untuk mendapat maklumat terkini.