Bila sebut emas pasti semua orang tahu yang ia adalah suatu benda berharga. Pingat emas contohnya ialah simbol kepada kemuncak kehebatan manusia. Kenapa begitu dan apa itu sebenarnya emas? Emas sebenarnya ialah salah satu unsur kimia. Simbol kimia bagi emas ialah Au dengan nombor atom 79.
Salah satu sifat utama emas ialah ia stabil tetapi boleh ditempa. Stabil bermaksud emas tidak bertindakbalas atau berinteraksi dengan unsur kimia yang lain. Emas tidak akan berkarat seperti besi bahkan asid paling kuat pun tidak sesekali menjejaskan emas. Oleh itu emas tahan dalam keadaan asalnya selagi tidak diusik malah tidak pernah akan pudar akan warna keemasannya.
Emas memang banyak kegunaannya seperti dalam industri tetapi dalam sejarahnya yang sangat panjang, ia selalunya menjadi barang kemas berharga selain sering dijadikan asas kepada duit. Emas dijadikan sandaran nilai selama lebih 5000 tahun.
Kalau anda ingat cerita harta karun, itu semuanya kan kepingan emas dan perak. Sebab itulah kalau sesiapa yang terjumpa harta karun akan teruja, walaupun karun dah lama meninggal. Bayangkan apa jadi kalau karun simpan hartanya dalam bentuk duit kertas? Dah sah-sah la sesiapa yang berjumpa harta karun akan kecewa sebab duit itu pastinya dah tak laku.
Nilai emas diukur dengan berat dalam gram (g) dan Aun (Oz). 1 Oz = 31.1 gram. Tidak seperti duit kertas hari ini, nilai duit emas kekal di dalam kepingan emas itu sendiri sampai bila-bila. Duit kertas semakin lama semakin murah (kuasa beli turun), tetapi kepingan emas semakin hari semakin berharga.
Sebagai bukti, 2000 tahun yang lalu, 1 gram emas cukup untuk membeli sepasang persalinan lengkap seorang lelaki. Hari ini pun 1 gram kalau ditukar masih bernilai lebih kurang RM 160, cukup untuk membeli sepasang persalinan lengkap seorang lelaki.
Duit kertas pula nilainya, jangankan 2000 tahun, dengan 120 tahun dahulu pun dah jauh beza.
Seringgit hari ini berbeza dengan seringgit pada tahun 1897 dengan begitu jauh. Tengoklah harga barang di bawah.
Emas selalu dianggap sebagai kayu ukur ketakutan atau kerisauan manusia. Bila manusia risau yang duit kertas sudah tak bernilai, emaslah yang akan mereka cari. Manusia risau bila harga barang semakin naik mendadak maka duit menjadi tidak berkuasa lagi.
Contohnya mudah. Katakan saya ada RM 100 ribu dalam EPF, cukup (kononnya) untuk membeli sebuah rumah sekarang. Tetapi saya belum 55 tahun dan saya tidak boleh usik duit itu. Walaupun duit Rm100 ribu banyak tetapi saya risau kerana pada umur saya 55 nanti Rm100 ribu sudah tidak cukup untuk membeli rumah kerana sudah tidak ada lagi rumah berharga rm 100 ribu.
Sebenarnya harga naik adalah akibat kepada satu fenomena. Fenomena itu ialah bilangan duit kertas bertambah dan berlegar-legar merebut barang, akibatnya harga barang (komoditi) pun naik dan naik. Duit bertambah kerana manusia bertambah. Manusia membeli rumah dengan pinjaman. Beli harga 100 ribu tapi bayar 200 ribu termasuk bunga. Fenomena pertambahan ini tidak berlaku pada emas.
Cara berfikir yang betul bila membeli emas ialah emas sebagai "senjata sulit" dalam keadaan susah. Ini kerana nilai emas di dalam tubuhnya kekal tanpa mengira keadaan kegawatan ekonomi atau tidak. Tidak seperti anda membeli saham kalau ekonomi gawat dan saham menjunam, emas tetap emas. Emas adalah seumpama benteng harta anda kalau contohnya berlaku negara Malaysia bankrup. Bila ini berlaku, duit berjuta dalam bank pun dah payah sebab silap-silap bank itu sendiri pun dah TUTUP.
Emas adalah harta sebenar dalam apa keadaan ekonomi sekalipun. Tapi jangan beli emas dengan angan-angan nak "buat duit" atau menunggu harga emas jatuh. Lebih baik anda beli emas sedikit-sedikit saja setiap bulan dan teruskan kumpul emas sampai anda benar-benar berharta. Dengan disiplin ini barulah boleh kumpul emas. Apa sekalipun matlamat anda, anda akan rugi kalau asyik menunggu dan menunggu tanpa membeli emas walaupun 1 gram.
Tidak perlu risau tentang emas susah nak jual atau salah masa jual emas semasa harga rendah. Emas sentiasa bernilai tinggi di mana-mana sahaja di dalam dunia. Bahkan tahukah anda sebenarnya lebih mudah untuk anda menjual emas daripada membeli emas. Begitulah berharganya logam yang di panggil emas ini.
Kesimpulannya emas adalah pelindung anda semasa kegawatan ekonomi. Emas membuat anda tidak risau dengan kenaikan harga barang, tidak seperti duit kertas, naik sikit dah berpeluh dan mengeluh. Setiap orang perlu menyimpan sedikit emas untuk perlindungan di masa gawat. Kalau tak percaya, tanyalah taukeh kedai pajak gadai.
Orang yang berilmu dan bijak akan menyimpan emas.