Hari raya kali ini nampaknya berbeza dari biasa. Kali ini Hari Raya bakal disambut dalam keadaan kita masih berada dalam PKP (B). Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Merentas negeri adalah dilarang oleh pihak kerajaan.
Namun hujung minggu ni begitu ramai yang masih cuba untuk balik kampung dengan merentas negeri. Disebabkan kedegilan ini maka kerajaan kini bertegas akan mengkompaun atau denda sesiapa yang tertangkap cuba melakukan kesalahan cuba balik kampung.
Ya kita faham hasrat anda mahu berhari raya di kampung bersama ibu dan bapa. Kita faham anda mahu berjumpa sanak dan saudara di kampung halaman. Tapi anda harus tahu yang kita bukan berada dalam keadaan normal. Kita masih berperang dengan virus yang mampu membunuh dengan ubat masih belum dijumpai.
Kenapa anda masih cuba juga melakukan perkara yang dilarang? Kenapa anda harus buat-buat tak faham? Kenapa anda berfikir semuanya akan OK? Kita selalunya berfikir begitu. Kita fikir semuanya akan OK. Tapi hakikat hidup bukan begitu. Dalam hidup ini kadang-kadang ada ujian yang datang. Kadang-kadang ada tragedi yang berlaku. Dan kadang-kadang benda itu menimpa kita.
Kita tidak seharusnya berfikir untuk kepentingan diri sendiri. Ya hari Raya cuma setahun sekali. Tapi bukankah selama ini sudah bertahun-tahun dan sudah berkali-kali kita menyambut hari Raya dengan sempurna. Kalau sesekali kita terpaksa berkorban demi negara dengan hanya kali ini sahaja kita tak balik kampung, apa salahnya? Takkanlah pengorbanan yang sebegitu kecil itu pun kita tak mampu lakukan?
Lihatlah selama ini pasukan hadapan saban tahun sudah biasa berkorban bekerja pada hari Raya. Polis, askar, jururawat, mereka ini sudah biasa bekerja pada hari Raya. Jangan lah kita ini begitu manja dan begitu pentingkan diri sendiri.
Negara kita masih belum tamat berjuang untuk melawan musuh yang tidak kelihatan ini. Marilah kita sumbangkan apa saja yang kita mampu. Janganlah kita pula menjadi selut yang mahu mengeruhkan lagi suasana.