Politik di Tumpat menjadi panas bila ahli parlimen Tumpat, Dato Kamaruddin Jaafar mengumumkan beliau menyertai PKR. Sebelum ini khabar angin menyatakan Dato Kamaruddin akan menyertai parti serpihan PAS yang dipanggil GHB.
Dato Kamaruddin sebelum ini pernah menjadi setiausaha Agong PAS. Pilihan dalaman PAS yang terbaru mengakibatkan PAS pecah kepada 2 kelompok iaitu yang kekal dalam PAS dan yang masuk GHB.
Apakah ini langkah terbaik buat Dato Kamaruddin? Yang pasti, PKR bukanlah parti yang kuat di Kelantan. Bahkah di Tumpat parti UMNO masih gagah seperti terbukti dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor baru-baru ini, yang merupakan sebuah DUN dalam kawasan Tumpat.
PAS pastinya merasa tidak puas hati kerana parti mereka iaitu PAS telah memberi tempat untuk Dato Kamaruddin bertanding pada tahun 1999 atas tiket PAS walaupun Dato Kamaruddin pada waktu itu baru saja masuk PAS setelah keluar parti UMNO kerana orang kuat dan boss Dato Kamaruddin iaitu Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO secara tiba-tiba.
Tindakan ini bermakna kerusi parlimen PAS di Tumpat kini dipegang oleh PKR.
Permainan politik Tumpat sememangnya sukar ditelah. Namun perkara ini bukanlah terlalu ajaib, ia umpama sejarah kembali berulang. Sejarah PAS yang menggunakan orang ada pengaruh untuk menang kerusi. Sebelum ni PAS dah kena dengan Ibrahim Ali di Pasir Mas.
Nota kaki: Dato Kamaruddin boleh dikira otai dalam politik Tumpat, usia Dato Kamaruddin hampir sebaya dengan abah aku (lahir 1951). Selamat berjuang kepada Dato Kamaruddin.