Selasa, Oktober 27, 2015

Idola terbaru saya



Ini kisah idola terbaru saya.

Saya mengenali beliau di majlis Maal Hijrah peringkat MARA yang di adakan di IKM Beranang yang kini dikenali sebagai MARA-Japan Industrial Institute.

Beliau ialah Dato Sri Zakaria Jaafar yang baru saja bersara dari jabatan kerajaan dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Pesuruhjaya SPRM selepas lebih 30 tahun berkhidmat. Satu jawatan yang cukup tinggi dan penting dalam negara.

Berasal dari Kelantan dan memiliki 11 orang anak!

Kenapa saya kagum dengan beliau?

Kerana beliau seorang yang tinggi ilmu, luas pengalaman dan juga banyak bercakap dan berpesan soal akhirat. Suatu kualiti yang agak jarang ada pada pegawai berpangkat tinggi kerajaan.

Satu lagi kualiti beliau ialah semasa bersara beliau tidak ada hutang dengan bank. Bagaimana begitu?

Menurut beliau hidup ini cuma pinjaman dan akhirat lebih utama. Beliau tidak berhajat pada rumah besar yang gah. Beliau menyewa sampai pencen!

Menurut beliau buat apa beli rumah besar yang banyak bilik, sampai tak tahu nak duduk bilik mana, akhirnya pilih bilik yang paling dekat dengan tandas sebab dah tua dan tak larat! Pesan beliau cuba beli tanah dan buat rumah ikut kemampuan.    

Dalam tulisan sebelum ini saya ada menulis yang orang semacam ini agak jarang ada.

Bayangkanlah kalau berhutang 30 tahun, dan beban hidup lain, bila ada peluang duit kotor pasti ramai yang gelap mata.

Kisah menakjubkan yang beliau kongsi semasa beliau masih muda dan berada di "front of line" ialah kisah menangkap seorang berjawatan CEO yang mana bukti sudah cukup dan hanya menunggu untuk ditangkap sahaja.

Ini mungkin rahsia SPRM tapi sebab beliau dah cerita mungkin saya boleh kongsi. Modus operandi menangkap SPRM ialah dengan prinsip "first light enter".

"First light enter" ialah mereka menangkap pelaku rasuah di pagi hening sebaik saja lampu pertama di buka pada waktu pagi. Dalam keadaan ini pelaku atau  pesalah masih "blur" dan mereka kebiasaannya tidak akan melawan.    

Dalam kes ini, CEO yang bergaji 5 angka ini mereka tunggu untuk masuk awal pagi, tapi peliknya lampu pertama yang di buka bukan lampu bilik tidur tapi lampu ruang tamu. Menggunakan prinsip "first light enter" mereka serbu masuk juga.

Di sinilah terjawab kenapa lampu ruang tamu yang di buka dan bukan lampu bilik tidur.

Di kaki CEO itu seorang anak kecil sedang menangis meminta susu dan ada anak-anak lain (4 orang kalau  tak  silap) sedang terbaring. Ibu mertua CEO itu juga ada disitu. Rupanya isteri beliau baru seminggu meninggal akibat barah payudara. CEO itu merayu agar jangan menangkap beliau di depan anak dan ibu mertuanya.

Apa anda akan buat kalau anda yang menjadi pegawai yang berada di situ? Sadis bukan, tapi salah tetap salah.

Ikuti pengalaman beliau dalam sebuah memoir bertajuk "Man Ana" yang bakal keluar nanti.

Isnin, Oktober 26, 2015

Hari gaji


Hari ni ialah hari gaji untuk bulan 10. Rasa seronoknya cuma sekejap. Bila dah bayar segala yang perlu, rasa panik pun datang. Panik sebab gaji dah tinggal sikit.

Dah 6 bulan aku bekerja di GMI. Aku masih belum dapat surat confirmation pun.

OT kat sini tak sekencang kerja kilang. Aku terpaksa berjimat-cermat. Kalau nak ikutkan duit gaji ni tak cukup untuk hidup secara sederhana pun. Kena hidup di bawah tahap sederhana. Tahap apa tu?

Semalam Irfan dan Firas kurang sihat. Muntah dan cirit-birit. Mujur juga Hospital Kajang buka hari Ahad. Hantar mereka untuk pemeriksaan. Terpaksa tunggu lama sebab ramai pesakit di bahagian pesakit luar.

Sabtu pula aku menjaga mereka sebab ibu mereka ada hal sekolah. Lepas tu makan kat luar, itu agaknya punca keracunan makanan? Entahlah. Tapi tempat yang kami pergi tu nampak bersih dan OK. Harganya pun mahal. Tempatnya juga "standard". Hmm.. entahlah.

Jadi hujung minggu lepas berlalu pantas.

Hari isnin pagi tadi agak kelam kabut sebab first day maka semuanya "blur".

Kalau tak nak blur kena bangun awal. Esok bangun pukul 5 pagi boleh?  

Sabtu, Oktober 24, 2015

Jerebu masih, sebuah puisi


Jerebu masih ada tahun ini sangatlah lama.

Aku seperti bermimpi berada di zaman terakhir tamadun manusia.

Banyak sekolah tutup minggu lepas buka cuma sehari terakhir hari jumaat.

Banyak yang sakit.

Kenapa sebegini teruk?

Manusia membakar hutan. Manusia mengumpul duit. Semua mau cepat dan segera seperti Mek Donald. Semua mau cepat kaya. Semua kejar duit. Ya.

Duit cumalah kertas yang ditulis nilai.

Tengoklah duit kertas Malaysia. Bank negara sendiri tak berani cetak tulisan
"wang ini sah diperlakukan dengan nilai ......" ia tidak dicetak dengan ayat nyata. Cuma ayat tergantung dan simbolik.

Wang bukan segalanya, tapi manusia tetap cari wang, kumpul wang, bakar hutan, buat jalan tol melentang.

Bila pokok habis dan bila ikan dah tak ada, bila lembu makan ketulan simen barulah manusia sedar wang cuma kertas, mana mungkin mahu makan kertas? Semua dah lesap habis punah.

Yang  tinggal hanyalah duit bertimbun dalam bank. Sangat banyak tak terhetong. Billion agaknya. Tapi sayang, semuanya dah tak ada apa nak beli lagi.

Hutan punah, laut rosak, bukit, sungai semua keroh. Tiada lagi sungai mengalir laju. Semua lesu.

Yang tinggal masih kukuh cuma plastik beg Tesco.

Khamis, Oktober 22, 2015

Meniti usia 37


Alhamdulillah masih diberikan kesempatan usiaku 37 tahun. Banyak tahap telah dilalui namun hidup dan perjalanan masih dalam visi perjuangan.

Kalau pemain bola usia ini dah kira pencen kekal, tak ada lagi yang bermain di peringkat perdana. Tapi aku cuma pekerja biasa yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ada sekitar 15 ke 18 tahun lagi sebelum boleh fikir pasal pencen.

Aku masih berusaha mengumpul harta dunia yang tak boleh di bawa masuk kubur.

Datuk yang aku panggil cik sudah pergi mengadap ilahi pada awal September lepas. Nenek yang aku panggil mok pula meninggal hampir dua tahun sebelum cik.

Begitulah hidup ini, ada masa suka dan ada masa kita diuji. Akhirnya kita semua pun akan ke destinasi akhir yang sempit dan gelap.  

Abah pun dah masuk usia 60 an. Ma pun semakin meningkat usia.

Sampai bila aku akan berada jauh di sini, aku pun tak tahu.

Khamis, Oktober 15, 2015

Cara bebas dari hutang


Ramai orang berangan-angan untuk bebas dari hutang, tapi terpaksa mengalah pada tuntutan hidup. Katanya, hidup ni mahu tak mahu kena berhutang. Tak berhutang tak boleh hidup. Betulkah begitu?

Aku sendiri pernah berhutang. Zaman dulu. Zaman remaja. Macam-macam hutang aku ada. Hutang kad kredit, hutang personal, hutang kereta, hutang belajar, hutang dengan member, dan sebagainya.

Sebenarnya ada cara untuk bebas dari hutang. Caranya taklah susah sangat. Apa yang aku kongsikan ini bukanlah tips seperti baca buku. Tips baca buku bersifat cantik tapi tak praktikal. Tips ini adalah brutal dan real sebab aku sendiri buat apa yang aku tulis ni.

Caranya ialah dengan kembali semula pada asas Islam. Islam mengharamkan riba. Maksudnya haram makan dan haram memberi riba. Jadi jauhilah hutang yang ada riba. Hiduplah secara sederhana dan zuhud. Hidup atas kemampuan sendiri, jangan hidup nak ikut gaya orang.

Sebenarnya aku ada terbaca kisah Mat Salleh ni yang hidup tanpa wang. Lepas tu ada beberapa lagi orang (juga orang putih). Tapi kena buat secara solo. Tak ada family kot. Makan apa yang boleh. Tinggal dalam van buruk. Masyarakat pandang serong kot. Macam orang terbuang. Orang ingat dia ni gila atau sewel.

Kalau tahap hidup tanpa wang ni aku pun kira dah ekstrem sangat. Sampai tahap kena jadi orang zaman gua batu lah. Tapi ada yang boleh dan sanggup buat tu, gila betul.

Jadi aku cuba satu level yang lain. Ia ekstrem juga tapi tak lah seteruk macam diaorang.

Hidup tanpa hutang. Hidup aku masih perlu wang. Aku masih cari wang, masih kumpul wang, cuma aku menjauhkan diri dari berhutang dengan bank. Level ni aku boleh buat. Tapi kena ada support dari isteri, yang juga bekerja makan gaji.

Hidup sederhana. Makan gaji tapi ada bisness sampingan.
Tinggal di kuarters kerajaan. Pakai kereta biasa-biasa harga 10 ribu je.
Anak tak boleh ramai sangat, so plan.
Duit simpan untuk diri dan anak setiap bulan.
Harta tak ada sangat tapi hutang pun tak ada.

Kena juga hadapi soalan seperti "kau tak beli rumah? sampai bila kau nak menyewa?" atau "bila kau nak beli kereta baru?"

Pandai-pandai la macam mana nak jawab.

Bagi aku prinsip aku senang saja. Biarlah apa orang nak kata, katalah. Aku dengan hidup aku yang aku jalani.

Serius, aku sekarang tak ada hutang yang tertunggak dengan bank, waima satu sen.

Amacam, ada berani?

Hari ini dalam sejarah


Kadar bayaran Tol naik lagi hari ini.

Highway SILK yang saban pagi penuh sesak dengan kenderaan dari Semenyih ke Putrajaya, kini berharga RM 1.80 berbanding harga biasa RM 1.00

Aku berada di tengah. Nak pergi Semenyih kena. Nak pergi Putrajaya pun kena.

Menteri yang bijak kata kalau tak mahu bayar jangan pakai highway. Guna jalan biasa atau jalan kampung.

80 sen bagi seorang Menteri apalah sangat.

Tapi untuk aku agak perit juga. Dahla naik masa tengah bulan. Gaji lambat lagi.

Inilah nasib orang makan gaji.

Nota kaki- Saifuddin Abdullah bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi hari ini menyertai PKR.

Rabu, September 23, 2015

Salam Aidiladha 1436 Hijriah


Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha kepada semua umat Islam.

Selamat pulang ke kampung halaman kepada semua yang merantau di kota.

Selamat berhari raya bersama keluarga tercinta.

Kepada yang berkorban, semoga amalan kebaikan anda akan mendapat ganjaran setimpal.

Berhati-hati semasa memandu dan bertimbang rasalah di atas jalan raya.


 

Penulis ialah seorang dealer syarikat emas Public Gold kod PG00073921

Foto saya
Saya ialah seorang dealer berdaftar Public Gold sejak September 2016. Dalam blog ini saya menulis nota kehidupan peribadi. Selain itu, saya berkongsi kebaikan Public Gold. Public Gold cuma salah satu jenama syarikat menjual emas. Harga setiap syarikat emas adalah sedikit berbeza-beza antara syarikat emas kerana faktor tersendiri. Saya bukanlah penganalisis professional, namun saya memberikan input berkaitan Public Gold secara jujur kerana saya sendiri melabur dengan emas Public Gold. Data dalam blog ini untuk saya meneliti sendiri perkembangan diri saya dalam kehidupan sebagai seorang dealer emas Public Gold dan juga sebagai seorang insan yang cuba membaiki diri. Whatsapp saya 012-9108905 kalau ingin membeli emas Public Gold.
Budaya Public Gold ialah belajar dan terus belajar. Anda boleh follow FB Page Public Gold Internasional untuk mendapat maklumat terkini.