Pada tahun 1990 saya ialah murid sekolah rendah darjah 6. Saya bersekolah semula di sekolah lama saya iaitu SK Bunohan di kampung Bunohan dalam daerah Tumpat setelah abah bertukar kerja di Kota Bharu.
Di sekolah ini saya mula kenal cikgu Mat Razi, iaitu antara cikgu yang paling menonjol di SK Bunohan. Cikgu Mat Razi mengajar kami subjek matematik. Dia kelihatan tegas namun cukup prihatin pada muridnya. Cikgu Mat Razi pada masa itu ialah seorang pemuda tampan yang agak segak namun sederhana dan bersahaja. Senyuman manis beliau pastinya memukau sesiapa sahaja yang tersua dengan beliau. Beliau mengajar teknik "istimewa" hafal sifir secara mudah agar murid boleh hafal sifir tanpa perlu susah payah paksa otak.
Semasa SK Bunohan menyertai Kuiz Sains dan Matematik cikgu Mat Razi adalah antara guru yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus murid bersama seorang lagi guru yang bernama cikgu Kamaruddin. Semasa SK Bunohan akan menyertai kuiz ke peringkat negeri Kelantan Cikgu Mat Razi telah memilih saya sebagai salah seorang wakil sekolah yang terdiri dari 4 orang murid terpilih. Saya cukup rasa bertuah pada masa itu maklumlah dapat wakil sekolah (pertandingan peringkat negeri) dan berjalan-jalan jauh sikit dari kampung walaupun hanya ke daerah lain sahaja. Pada masa itu rasa macam jauh sangat pergi iaitu ke SK Temangan di Machang.
Selepas itu saya memang suka dengan subjek matematik dan sangat teruja dengan kelas matematik bersama cikgu Mat Razi. Beliau adalah antara cikgu yang saya segani, hormati dan sayangi.
Lepas habis darjah 6 dan UPSR yang agak bagus (3A dengan matematik A) saya bersekolah di SMK Falahiah di Pasir Pekan. 2 tahun lebih saya di Pasir Pekan dan menetap di asrama. Bila tingkatan 3 saya berulang dari kampung dengan menumpang kereta Iswara abah yang berulang kerja di Kota Bharu.
|
pic from twitter @Cikgu Mat Razi. |
Tak lama lepas tu saya dapat berita cikgu Mat Razi telah berkahwin dengan anak tok nebang (status macam tok penghulu) kampung saya. Rumah tok nebang pula dekat saja dengan rumah abah. Cikgu Mat Razi pula tinggal bersama isterinya di rumah tok nebang dan kemudian membina rumah kecil sahaja di depan rumah tok nebang. Pastinya saya antara orang yang paling gembira dengan perkembangan ini.
Di depan rumah tok nebang (seberang jalan) ada surau kecil yang dah uzur. Cikgu Mat Razi lah yang "menghidupkan" surau ini. Beliau jadi imam, tok bilal, dan makmum (sebab tak ada orang datang) bila waktu Zohor dan asar. Kadang-kadang bila saya pergi hanya saya, cikgu Mat Razi dan seorang lagi pak cik tua pengayuh beca dekat situ yang setia pergi ke surau.
Tak lama lepas tu surau tu dirobohkan dan khabarnya ada peruntukan dari kerajaan untuk bina surau yang lebih kukuh. Surau baru dibina kali ini lebih kukuh dan dekat dengan rumah kecil cikgu Mat Razi ( tak perlu seberang jalan) yang menumpang tanah mertuanya itu. Cikgu Mat Razi lah yang jadi imam di situ. Bila bulan puasa dialah imam sunat terawih dan bila hari raya dialah baca khutbah walaupun agak tak lancar dan tersekat-sekat tak macam khutbah imam masjid bunohan yang dah "expert". Kini khutbah beliau pastinya dah setanding tok imam masjid (pendapat saya).
Disamping mengajar cikgu Mat Razi juga membuka kedai runcit kampung secara kecilan. Tapi perniagaan itu tak lama sebab kurang sambutan agaknya lagipun dah ada kedai runcit yang besar di kampung itu yang lebih menjadi tumpuan. Susah nak bersaing lagipun cikgu Mat Razi selalu sibuk dengan sekolah dan urusan kemasyarakatan lain.
Cikgu Mat Razi memang aktif dan peramah dengan orang kampung. Dia jadi terkenal dan mudah didekati. Bila ada tahlil cikgu mat Razi tak ada masalah nak jadi ketua atau "kepala" tahlil. Kampung sekitar Telaga Bata, Nechang Bunohan dan tempat yang terdekat situ semuanya kenal sangat bila sebut nama cikgu Mat Razi. Cikgu Mat Razi kelihatan cukup sederhana dengan serban jubah dan kopiah. Suaranya lantang dan membaca dengan jelas dan kuat bila jadi imam. Cigku Mat Razi juga pergi ke Mekah tak lama kemudian. (Big deal- sebab kampung saya ramai orang miskin)
Cikgu Mat razi bukanlah fanatik sangat bab politik dan dia tak banyak bercakap pasal politik bahkan saya sendiri tak tahu apa parti politik yang cikgu Mat Razi sokong. Cuma ibu saya pernah beritahu saya surau lama dulu tu pernah TPM Muhyiddin Yassin datang. Surau kecil itu pula bila ada ceramah yang datang ialah arwah Pok Teh Mail guru quran saya (orang BN) dan seorang lagi tokoh agama yang ada kaitan dengan arwah Pok Tih.
Yang saya perasan ialah satu perkara iaitu cikgu mat Razi tak pergi sembahyang jumaat ke kampung Bunohan iaitu masjid terdekat dari rumah mertuanya tempat cikgu Mat Razi tinggal. Masjid Bunohan dikatakan masjid PAS sebab imamnya sokong PAS. Cikgu Mat Razi biasanya sembahyang jumaat di kampung asal beliau iaitu Simpangan. Begitu juga orang-orang BN di kawasan kampung saya akan pergi ke mana-mana masjid lain yang terdekat...hmm.
Bila saya dapat tahu cikgu Mat Razi jadi calon BN untuk Pengkalan Kubor saya agak terkejut bercampur bangga. Barulah saya tahu cikgu Mat Razi "orang BN". Mungkin saya banyak tak tahu lain-lain cerita tentang Cikgu Mat Razi sebab saya tinggal di Kajang dan balik kampung hanya bila ada cuti raya dan sebagainya. Tapi bila sesekali balik cikgu Mat Razi akan terus bertanya khabar dan menyapa mesra saya, bekas muridnya. Tak pernah pula saya terfikir yang cikgu Mat Razi ni orang aktif dalam parti UMNO. Sebab gaya beliau berjubah serban orang fikir dia PAS atau setidaknya simpati pada PAS.
Perkembanagn terbaru di mana cikgu Mat Razi menjadi calon BN Pengkalan Kubor berlaku dengan pantas. Penyokong Asyraf Wajdi Dasuki pun berbunyi sebab katanya Asyraf lebih layak. Asyraf memang la lebih tinggi akedemik dan minda tapi saya rasa Asyraf ni dah terlalu bandar sangat. Duduk buat kerja pun di KL dan bertaraf orang bandar. Sedangkan Pengkalan Kubor kawasan yang seherhana saja. Asyraf pun tak lepas bila bertanding ketua pemuda Tumpat melawan Rosidi yang juga local boy sahaja yang tak-ada-kerja-tetapi-tapi-banyak-duit itu. Jadi Asyraf rasanya elok sambung kerja akademik beliau sahaja.
Calon PAS Wan Rosdi saya tak kenal langsung. Kontraktor katanya. Setiausaha PAS Tumpat pangkat dia dalam parti, pastinya lebih senior berbanding Cikgu mat Razi yang cuma AJK UMNO Tumpat sahaja. Namun pada pendapat saya Cikgu Mat Razi ada peluang menang kerana sentimen di Pengkalan Kubor agak terbuka dan ramai juga pengundi Siam yang pastinya tak berapa nak beri undi pada PAS.
Itulah secebis kisah tentang Cikgu Mat Razi yang saya kenali. Nama saya memang ada dalam daftar pemilih untuk DUN pengkalan Kubor. Namun saya tak akan balik mengundi sebab saya sibuk kerja lagipun saya bukanlah penyokong mana-mana parti samaada UMNO atau PAS.